Tiga feri penumpang terbakar

Iklan
Tiga feri penumpang yang ditempatkan Dermaga Kapal Bukit Malut, dekat Langkawi, musnah dalam kebakaran yang berlaku malam Isnin. - Foto JBPM

ALOR SETAR - Tiga feri penumpang yang ditempatkan Dermaga Kapal Bukit Malut, dekat Langkawi, musnah dalam kebakaran yang berlaku malam Isnin.

Ketua Zon 4 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Langkawi, Penguasa Bomba Mohd Zamri Abd Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 9.46 malam sebelum tiba di lokasi kira-kira 17 minit kemudian.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, kebakaran di dermaga berkenaan melibatkan enam feri, dengan dua daripadanya musnah kira-kira 80 peratus dan hanyut ke laut sejauh lebih kurang 50 meter dari lokasi asal.

"Sebanyak satu feri lagi terbakar kira-kira lima peratus, manakala tiga feri berjaya diselamatkan daripada marak api,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

Mohd Zamri berkata, satu daripada feri yang terbakar dan hanyut berjaya ditarik ke tebing dengan bantuan bot nelayan, manakala sebuah lagi feri tidak dapat ditarik berikutan air mula memasuki bahagian belakang, menyebabkan pihak bomba membiarkan api padam sepenuhnya dengan pemantauan rapi.

Menurut beliau, seramai 23 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Persiaran Putra dan Langkawi dikerahkan ke lokasi, dengan operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran hos serta dua pancutan air.

Iklan

"Tiada mangsa terlibat dalam kejadian ini. Kebakaran berjaya dikawal pada 11.07 malam dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 2.10 pagi tadi,” katanya. - Bernama