Aktif ‘pecah kedai', warga Myanmar dicekup

Iklan
Rampasan barang peribadi suspek yang berjaya ditangkap di kawasan Nusa Bestari.

ISKANDAR PUTERI – Polis menahan seorang lelaki warga Myanmar yang dipercayai aktif melakukan jenayah pecah kedai dalam satu tangkapan di kawasan Nusa Bestari, di sini, minggu lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan, suspek berusia 36 tahun itu ditahan pada Khamis lalu, kira-kira jam 8.30 malam, oleh sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri.

Iklan
Iklan

“Tangkapan dibuat susulan siasatan terhadap beberapa kes pecah kedai yang dilaporkan berlaku sekitar Disember 2025 di kawasan Gelang Patah dan sekitar Iskandar Puteri.

“Hasil risikan serta maklumat awam membawa kepada penahanan suspek yang dipercayai terlibat secara aktif dalam kegiatan berkenaan.

Iklan

“Hasil tangkapan itu, pihak polis turut merampas beberapa barangan yang dipercayai digunakan semasa melakukan jenayah, antaranya sebuah telefon bimbit, pelitup muka dan sepasang pakaian,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambah Kumarasan, dengan tertangkapnya suspek, polis berjaya menyelesaikan lima kes pecah kedai yang berlaku di daerah Iskandar Puteri, sekali gus meredakan kebimbangan peniaga tempatan yang terjejas akibat jenayah tersebut.

Iklan

Katanya, suspek kini ditahan reman selama tujuh hari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) bermula Jumaat hingga Rabu ini bagi membantu siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan, iaitu pencerobohan rumah atau premis dengan niat melakukan jenayah.

“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun serta denda dan, jika melibatkan kesalahan mencuri, turut boleh dikenakan hukuman sebatan.

“Pihak polis akan terus bekerjasama dengan masyarakat dalam usaha membanteras sebarang perlakuan jenayah.

“Oleh itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah diminta menyalurkannya ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pusat Kawalan Daerah Iskandar Puteri di talian 07-511 3622 atau hotline 07-511 4486,” katanya.