Dua lori berlanggar depan sekolah, seorang pemandu parah

Iklan
Seorang pemandu lori berusia 36 tahun cedera parah apabila lori dipandunya berlanggar dengan sebuah lori lain.

TASEK GELUGOR – Seorang pemandu lori cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya membabitkan dua buah lori di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Gelugor, Jalan Permatang Berangan, di sini pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.22 petang itu, kemalangan melibatkan dua lori jenis Hino yang dipercayai berlanggar antara satu sama lain.

Iklan
Iklan

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.22 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bertam digerakkan ke lokasi kejadian sebagai bantuan.

“Jentera bomba tiba di lokasi pada jam 3.44 petang selepas menempuh jarak kira-kira 12 kilometer,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Iklan

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati seorang pemandu lori berusia 36 tahun tersepit di dalam kenderaan dan mengalami kecederaan parah.

"Bagaimanapun, mangsa telah dikeluarkan lebih awal oleh orang awam sebelum dihantar ke Hospital Kepala Batas menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi.

Iklan

"Seramai enam anggota bomba termasuk seorang penyelia terlibat dalam operasi tersebut dengan menggunakan sebuah jentera FRT," ujarnya.

Tambah beliau, setelah memastikan keadaan di lokasi berada dalam keadaan selamat dan terkawal, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.36 petang.

Punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan pihak berkuasa.