SHAH ALAM – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menegaskan tidak pernah memberikan sebarang mandat rasmi kepada mana-mana pimpinan parti untuk mengadakan perbincangan dengan UMNO berhubung usaha penyatuan Melayu.
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa perkara itu juga tidak pernah dibincangkan dalam mana-mana mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti berkenaan.
Penegasan itu dibuat susulan ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang menyentuh mengenai perbincangan dengan pimpinan Bersatu bagi mengusahakan penyatuan Melayu.
Muhyiddin berkata, sebarang perbincangan rentas parti yang melibatkan bentuk kerjasama antara Bersatu dan UMNO perlu diadakan mengikut saluran rasmi parti.
Menurutnya, perbincangan sedemikian juga hendaklah dihadiri oleh kepimpinan tertinggi kedua-dua parti bagi memastikan ia berlangsung secara sah dan berwibawa.
Beliau turut menegaskan bahawa sebarang perbincangan perlu dilakukan secara telus serta mengambil kira semua faktor berkaitan.
“Antara perkara yang perlu diberi perhatian termasuk pandangan rakan-rakan parti dalam Perikatan Nasional (PN) serta kedudukan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini,” ujar Muhyiddin yang juga merupakan bekas Perdana Menteri.
Dalam masa yang sama, Muhyiddin turut menyatakan pendirian terbuka Bersatu terhadap cadangan yang dikemukakan oleh Presiden UMNO berhubung perkara berkenaan.
Ujarnya, Bersatu akan menimbangkan cadangan itu selepas mendapat input yang lebih jelas dan menyeluruh mengenainya.