[VIDEO] Kes saman Najib terhadap Tommy Thomas isu pembunuhan Altantuya selesai

Iklan

SHAH ALAM – [KEMAS KINI] Kes saman fitnah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dan penerbit buku, diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin.

Saman itu berhubung dakwaan bahawa memoir Tommy ‘My Story: Justice in the Wilderness’ yang diterbitkan mengandungi fitnah iaitu mengaitkan Najib, 73, selaku plaintif, dengan pembunuhan seorang wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Iklan
Iklan

Penyelesaian kes saman berkenaan direkodkan di hadapan Hakim, Datuk Khadijah Idris, selepas peguam kedua-dua pihak memaklumkan bahawa satu penyelesaian secara baik telah dicapai.

Najib

Iklan

Mahkamah tidak memerintahkan sebarang kos dan kes diselesaikan tanpa kebebasan untuk memfailkan semula saman berkenaan.

Semasa sidang akhbar, peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas Ahli Parlimen Pekan itu berkata, penyelesaian tersebut merupakan suatu kemenangan kepada anak guam.

Iklan

“Ini kerana Tommy mengakui dalam kenyataannya di mahkamah sebelum ini bahawa, tiada bukti yang mengaitkan bekas pemimpin UMNO tersebut dengan pembunuhan Altantuya.

“Anda boleh menganggap ini sebagai kemenangan kerana tiada bukti yang diakui oleh defendan (Tommy) yang mengaitkan Najib dengan pembunuhan itu,” katanya.

Susulan itu beliau berkata, perkara ini sepatutnya menamatkan semua khabar angin terhadap anak kelahiran Pahang tersebut.

Beliau berkata, tidak timbul isu Najib hanya mahu mendapatkan wang ganti rugi daripada defendan, sebaliknya mahu melindungi reputasi berikutan khabar angin yang mengaitkannya dengan pembunuhan itu, selama bertahun-tahun.

Meskipun berita yang tersebar tidak dilampirkan dengan sebarang bukti kukuh namun beliau berkata, fitnah tersebut terus-menerus mengaitkan Najib dengan pembunuhan itu.

Sementara itu, semasa prosiding, peguam, Alan Adrian Gomez membacakan kenyataan Tommy yang menyatakan beliau tidak mengetahui sebarang bukti yang mengaitkan Najib dengan kes terbabit.

“Saya berpegang kepada kenyataan dan pandangan yang dinyatakan dalam Bab 42 buku saya, bahawa akuan berkanun (bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Koperal Sirul Azhar Umar dan Cif Inspektor Azilah Hadri, yang saling menyokong antara satu sama lain.

“Bagaimanapun, saya menerima bahawa sejak penerbitan buku itu, saya tidak mengetahui sebarang bukti yang mengaitkan Najib dengan pembunuhan Altantuya,” katanya yang hadir bersama peguam, Mervyn Lai dan Haikaldin Mahyidin.

Alan berkata, walaupun Tommy memahami bahawa siasatan telah dijalankan selepas penerbitan buku berkenaan dibuat.

Katanya, jika buku itu dicetak atau diterbitkan semula, kenyataan di atas hendaklah dinyatakan pada halaman yang sama dengan penerbitan kenyataan yang dipertikaikan, yang kini pada halaman 404 dan 405.

Dalam prosiding ini, syarikat terbabit diwakili peguam, R Gokul.

Pada 2 Februari 2021, Najib dalam surat tuntutan yang dihantar menerusi firma peguamnya Tetuan Shafee & Co menuntut satu permohonan maaf dan ganti rugi sebanyak RM10 juta daripada Tommy berhubung fitnah terhadap Najib yang didakwa terkandung dalam memoir tersebut.

Beliau menamakan Tommy dan penerbit, GB Gerakbudaya Enterprise Sdn Bhd sebagai defendan pertama dan kedua.

Antara lain, surat tuntutan itu menyebut melalui inferens dan sindiran yang jelas, Tommy telah memberi mesej bahawa beliau, ketika menjadi Peguam Negara dan Pendakwa Raya, berpuas hati dengan kebenaran yang terdapat dalam dakwaan dua individu yang telah disabitkan bahawa Najib terlibat dalam mengarahkan mereka supaya membunuh Altantuya.

Beliau mendakwa buku itu diterbitkan oleh defendan kedua dan diedarkan di negara ini pada hujung Januari 2021 dan diedarkan secara meluas di pasaran antarabangsa.

Bagaimanapun Tommy, dalam maklum balas kepada surat tuntutan itu pada 5 Februari tahun sama, menafikan telah memfitnah Najib.

Ketika memberi keterangan pada 11 Oktober 2024, Najib tidak pernah mengarahkan bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar membunuh Altantuya pada 2006.

Katanya, ini kerana beliau tidak pernah bertemu bekas model sambilan yang juga penterjemah dan jurubahasa berkenaan.