Lelaki Bangladesh disyaki guna PLKS palsu cuba berlepas ke Dhaka

Iklan
AKPS menahan seorang lelaki warga Bangladesh yang disyaki menggunakan PLKS palsu semasa hendak berlepas ke Dhaka, Bangladesh pada Ahad.

SEPANG – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menggagalkan cubaan seorang lelaki warga Bangladesh yang disyaki menggunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu semasa cubaan berlepas ke Dhaka, Bangladesh pada Ahad.

AKPS dalam kenyataan berkata, pemeriksaan dijalankan terhadap seorang penumpang yang dijadualkan berlepas ke Dhaka pada jam 7.25 malam menaiki penerbangan pesawat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, penahanan dibuat AKPS KLIA kira-kira jam 4.40 petang di Balai Pelepasan Antarabangsa KLIA Terminal 2.

"Pemeriksaan awal mendapati lelaki berusia 39 tahun yang juga pemegang pasport Bangladesh memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (ePass) yang dikepilkan di dalam pasportnya.

Iklan

"Namun, setelah semakan lanjut dibuat, pas tersebut disyaki tidak sah dan palsu," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Tambahnya, susulan itu, individu tersebut telah ditahan dan ditempatkan di Depot Imigresen KLIA Terminal 2 sebelum diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasaan AKPS KLIA bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Iklan

Kata AKPS, pihaknya menegaskan komitmen berterusan dalam memperketat kawalan keselamatan sempadan negara serta tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan penyalahgunaan dokumen perjalanan atau pas imigresen.