ALOR SETAR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah menahanseorang bekas eksekutif bank kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah kira-kira RM7,000, dua tahun lepas.
Menurut sumber SPRM, suspek dipercayai meminta suapan tersebut sebagai balasan membantu mendapatkan pembiayaan pembelian dron kepada pemohon skim pembelian tersebut.
Sumber itu berkata, suspek lelaki berusia lingkungan 50-an ditahan pada kira-kira jam 4 petang semalam, ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kedah.
"Siasatan awal mempercayai suspek melakukan perbuatan tersebut pada 2024. Suspek disyaki menerima rasuah melalui transaksi pemindahan wang dalam talian ke akaun peribadinya, dengan menerima rasuah antara RM1,000 hingga RM2,300 bagi setiap permohonan,” kata sumber itu.
Perintah reman selama lima hari sehingga 23 Januari ini terhadap suspek dikeluarkan Majistret Nur Syifa Mohd Hamzah, selepas permohonan dibuat oleh SPRM di Mahkamah Majistret di sini, pagi tadi.
Sementara itu, Pengarah SPRM Keda,h Datuk Nazli Rasyid Sulong ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Sekyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009. - Bernama