KUANTAN – Taktik segelintir pemilik kenderaan mewah yang cuba mengambil kesempatan atas ketiadaan keperluan memaparkan pelekat cukai jalan membawa padah apabila dikesan dalam satu operasi khas di Bentong pada Sabtu dan Ahad.
Dalam operasi Ops Luxury yang dijalankan di Pos Pertama Polis Bantuan Genting itu, sebanyak enam buah kenderaan mewah telah disita oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang.
Unit Korporat JPJ Pahang dalam satu kenyataan memaklumkan, walaupun pelekat cukai jalan tidak lagi wajib dipamerkan, status cukai jalan kenderaan serta maklumat kenderaan masih boleh dikesan melalui semakan digital menggunakan peranti khas sewaktu operasi dijalankan.
"Ibarat penguat kuasa tidak boleh mengesan (kerana tiada pelekat), namun kami mempunyai peranti khas yang boleh menyemak status kenderaan secara serta-merta di lokasi.
"Hasil pemeriksaan enam kereta mewah didapati melakukan kesalahan cukai jalan tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans serta satu kes menggunakan nombor pendaftaran milik kenderaan lain," menurut kenyataan itu pada Isnin.
Operasi bersepadu selama dua hari itu turut melibatkan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Bentong dan Polis Bantuan Genting.
Kesemua kenderaan disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, termasuk satu kes kesalahan nombor pendaftaran palsu disiasat di bawah Seksyen 108(3)(f) akta yang sama.
Sehubungan itu, JPJ Pahang mengingatkan pemilik supaya wajib memastikan kenderaan mereka mematuhi undang-undang dengan memiliki cukai jalan dan insurans yang masih berkuat kuasa sebelum digunakan di jalan raya.