DI sebalik hamparan ais yang luas, Greenland yang merupakan pulau ais terbesar di dunia kini muncul sebagai medan strategik yang menjadi rebutan kuasa besar.
Nuuk sering dilihat sebagai wilayah terpencil yang dilitupi ais dan jauh daripada perhatian dunia.
Namun, pada abad ke-21, Greenland dianggap sebagai lokasi strategik penting dalam geopolitik global. Wilayah itu bagaikan papan catur di mana kuasa-kuasa besar mengatur strategi mereka.
Greenland yang terletak di antara Amerika Utara dan Eropah berhampiran laluan utama Artik menjadikan ia penting dari sudut keselamatan ketenteraan dan pertahanan udara.
Amerika Syarikat (AS) melihat Greenland sebagai komponen utama dalam sistem pertahanannya melalui pangkalan tentera mereka di Pituffik.
Presiden Donald Trump menggunakan isu keselamatan sebagai alasan bagi Washington untuk mengambil alih Nuuk walhal beliau lebih berminat dengan sumber mineral bernilai tinggi yang belum diterokai sepenuhnya.
Sumber-sumber tersebut didakwa amat penting untuk pembangunan teknologi moden dan usaha peralihan kepada ekonomi hijau.
Sehubungan itu, kuasa besar seperti AS, China, Rusia dan Kesatuan Eropah (EU) semakin giat memperluas serta memperkukuh pengaruh mereka di Greenland serta kawasan Artik.
Perebutan kuasa tersebut menyebabkan Greenland terperangkap dalam dilema yang kompleks dan wilayah autonomi Denmark itu dengan lantang menolak ancaman berulang Trump.
Tanpa disedari banyak pihak, Nuuk bukan sahaja menjadi medan persaingan geopolitik, tetapi juga menjadi penunjuk utama krisis perubahan iklim global.
Lapisan ais Greenland memainkan peranan penting dalam mengekalkan kestabilan paras laut dan setiap perubahan besar akan memberi impak kepada negara-negara pesisir di seluruh dunia.
INFO
Pulau terbesar di dunia yang terletak di Artik itu berkeluasan kira-kira 2.2 juta kilometer persegi. Dianggarkan 17 kali ganda saiz Semenanjung Malaysia. Ia dikawal Denmark selama kira-kira 300 tahun.
Berpopulasi kira-kira 57,000 orang. Majoriti penduduk ialah Orang Asli Inuit.
Kedudukannya antara Amerika Utara dan Artik menjadikan ia lokasi strategik untuk sistem amaran awal jika berlaku serangan peluru berpandu selain mengawasi kapal yang melalui perairan sekitarnya.
Ketika kemuncak Perang Dingin, AS pernah merancang untuk menempatkan stesen misil nuklear di Nuuk, namun membatalkan projek itu kerana masalah kejuruteraan selain dibantah Denmark.
Washington mengendalikan Pangkalan Angkasa Pituffik yang dahulunya dikenali sebagai Pangkalan Udara Thule sejak Perang Dunia Kedua. Fungsinya untuk mengawasi ancaman peluru berpandu.
Kira-kira 80 peratus kawasan dilitupi ais. Kebanyakan penduduk tinggal di pantai barat daya sekitar Nuuk.
Ekonomi utamanya berasaskan perikanan dan menerima subsidi disalurkan Copenhagen.
Presiden ke-27 AS, William Howard Taft dan Presiden ke-33 AS, Harry S Truman pernah cuba untuk menguasai Greenland.
Jadi tanah jajahan sehingga pertengahan abad ke-20 sebelum diberi kuasa autonomi pada 1979.
Selepas Perang Dunia Kedua, pasukan tentera AS kekal di Nuuk.
Pada 1951, perjanjian pertahanan bersama Denmark memberikan Washington peranan penting dalam pertahanan di wilayah itu.
Pada 1979, Nuuk diberi kawalan terhadap dasar penting manakala Copenhagen mengawal hal ehwal luar dan pertahanan.