KLANG - DAP menolak keras dakwaan pihak tertentu yang mengaitkan parti itu dengan keputusan penjualan aset strategik negara ketika era pentadbiran Pakatan Harapan (PH) 1.0.
Setiausaha Agungnya, Anthony Loke menegaskan, segala keputusan berkaitan Khazanah Nasional dan Tabung Haji (TH) bukannya dibuat oleh DAP.
Menurut beliau, dakwaan yang mengaitkan DAP dengan penjualan hospital, pelupusan aset negara serta tanah dibuat tanpa berpandukan fakta, selain disifatkan sebagai cubaan menghidupkan semula naratif politik lama.
"Tak ada seorang pun wakil DAP dalam lembaga pengarah Khazanah. Walaupun ketika itu, Menteri Kewangan daripada DAP (Lim Guan Eng) tetapi menteri kewangan semasa itu tidak dilantik untuk duduk dalam lembaga pengarah.
"Yang menjadi Pengerusi Khazanah pada ketika itu sudah tentu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Menteri yang dilantik duduk dalam lembaga pengarah Khazanah pula ialah Menteri Hal Ehwal Ekonomi (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali).
"Tak ada wakil daripada DAP, jadi kenapa semua keputusan nak dibesar-besarkan dan dipersalahkan kepada DAP? Bukan kami yang buat keputusan, kalau nak persalahkan, salahkanlah Tun Dr Mahathir," kata Anthony.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Konvensyen DAP Selangor di sini pada Ahad.
Hadir sama, Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo; Pengerusi DAP Selangor, Ng Sze Han dan Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Yeo Bee Yin.
Mengulas lanjut isu TH pula, Anthony menegaskan institusi itu tidak pernah dipimpin oleh wakil DAP dan dakwaan sedemikian adalah satu pembohongan yang sengaja dimainkan segelintir pihak.
“Pengerusi TH ketika itu seorang profesional. Bukan orang DAP, bukan wakil mana-mana parti politik,” jelasnya lagi.
Tambah beliau, masalah kewangan TH bukan bermula pada 2018, sebaliknya sudah berlarutan sebelum itu lagi hingga memerlukan campur tangan segera daripada pihak kerajaan bagi mengelakkan kerugian lebih besar.
Jelasnya lagi, kerajaan ketika itu mengambil langkah menyelamatkan TH melalui mekanisme yang diputuskan Kabinet, termasuk penubuhan syarikat tujuan khas bagi mengelakkan aset institusi berkenaan terpaksa dilupuskan.
“Ini fakta! Fakta ini perlu dinyatakan dengan tepat. Jadi, saya nak mengingatkan rakan-rakan dalam UMNO, kalau nak berhujah kena guna fakta yang tepat.
"Janganlah semua perkara yang tak betul asyik DAP sahaja dipersalahkan," kata Anthony.