Jenazah Nadia Kesuma akan dikebumikan pagi esok di Jeddah

Iklan
Reezal (kiri) ketika bertemu Muhammad Kamarul di Lapangan Terbang KLIA pada Ahad sebelum beliau berangkat ke Jeddah bagi menguruskan jenazah isterinya

KEPALA BATAS - Jenazah pelakon, Nadia Kesuma atau nama sebenarnya Nadiah Kasumawati Abdul Karim, dijangka dikebumikan pada pagi esok mengikut waktu tempatan di Jeddah, Arab Saudi.

Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, perkara itu dimaklumkan oleh suami Allahyarhamah, Profesor Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah ketika beliau ditemui bersama ahli keluarganya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), tengah hari Ahad.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Muhammad Kamarul dan anaknya akan berangkat ke King Fahad Hospital, Jeddah pada petang ini untuk menguruskan segala urusan jenazah, termasuk dokumentasi serta pengambilan barang-barang peribadi.

Allahyarhamah Nadia Kesuma meninggal dunia di Jeddah.

Iklan

"Dalam suasana amat sayu dan sarat dengan rasa kehilangan, mereka akan berangkat ke King Fahad Hospital, Jeddah untuk menemui Allahyarhamah Nadiah Kasumawati Abdul Karim dan menguruskan segala urusan jenazah, termasuk dokumentasi serta pengambilan barang-barang peribadi.

"Saya juga dimaklumkan bahawa jenazah Allahyarhamah Nadiah Kasumawati Abdul Karim akan dikebumikan pada pagi esok mengikut waktu tempatan di Jeddah, Arab Saudi, tertakluk kepada kelancaran urusan di sana," tulisnya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Iklan

Dalam pada itu, Reezal Merican turut mengajak orang ramai untuk sama-sama mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan keampunan ALLAH SWT.

"Semoga Allahyarhamah diampunkan segala dosa, dirahmati dan ditempatkan bersama golongan mukminin serta solihin," katanya.

Terdahulu Sinar Harian melaporan tanda tanya mengenai kehilangan pelakon Nadia Kesuma sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah terungkai apabila wanita itu dilaporkan sudah meninggal dunia akibat sakit jantung pada Khamis lalu.

Perkara itu disahkan anak perempuannya, menerusi Threads pagi tadi apabila memaklumkan yang ibunya meninggal akibat sakit jantung.

Terdahulu, Nadia Kesuma yang pernah membintangi filem Syaitan Munafik dan Kudeta dilaporkan hilang tanpa dapat dikesan selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah pada Rabu lalu.

Nadia antara 21 peserta yang menyertai kumpulan umrah dan ziarah bersama sebuah agensi pelancongan bermula dari 14 hingga 28 Januari ini.