GUA MUSANG - Seorang bapa yang cuba menyelamatkan anak lelakinya berusia 10 tahun yang dihanyutkan arus deras Sungai Relai di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Lebir 1 di sini pada Sabtu ditemukan lemas pada Ahad.
Mayat Mohamad Fakarudin Abdul Halim@Awang, 40, ditemui kira-kira jam 12.30 tengah hari oleh anggota bomba yang melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Rakannya, Mohamad Zukhairul Ismail, 40, berkata, jenazah rakannya itu masih berada di lokasi kejadian dan akan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut serta dibawa ke Hospital Gua Musang.
Mohamad Fakarudin merupakan pekerja ladang dan mempunyai lapan orang anak di RKT Kesedar Lebir.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, Mohamad Fakarudin dikatakan tenggelam selepas berjaya menyelamatkan anaknya sebelum dihanyutkan arus deras sungai.
Menurut Mohamad Zukhairul, semasa kejadian isteri serta anaknya ke sungai berkenaan bersama Mohamad Fakarudin dan keluarga.