KOTA BHARU - Rangkaian pembekalan makanan sejuk beku yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sumber dari Thailand dan pembekal di Kelantan kini dalam radar Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas operasi bersepadu Op Salju Mega membawa kepada rampasan bernilai RM319,825.10 serta penahanan 10 individu di tiga negeri di Pantai Timur.
Operasi yang dilaksanakan Briged Tenggara PGA bersama beberapa agensi penguat kuasa itu turut menyaksikan enam lokasi diserbu di Kelantan, Terengganu dan Pahang bermula 9 hingga 11 November lalu.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, operasi berkenaan menyasarkan kegiatan penyeludupan makanan sejuk beku secara haram selain melumpuhkan rangkaian kartel yang terbabit dalam aktiviti berkenaan.
Menurut beliau, hasil operasi di Kelantan pada 10 November lalu membawa kepada penahanan seorang individu serta rampasan 1,130 paket sosej pelbagai jenis dan 2,508 kilogram (kg) ayam sejuk beku bernilai RM76,745.
Ujarnya, maklumat awal mendapati bekalan sosej dipercayai diperoleh daripada seorang pembekal wanita di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjung, Kota Bharu, manakala ayam sejuk beku dipercayai diperoleh daripada pembekal dari Thailand.
Menurut beliau, di Terengganu pula, operasi pada 9 November lalu membawa kepada penahanan seorang individu dan rampasan 6,217.5 kg pelbagai makanan sejuk beku bernilai RM106,332.50 hasil serbuan di dua lokasi sekitar Kuala Terengganu.
"Lebih menarik, bekalan makanan sejuk beku di premis berkenaan dipercayai diperoleh daripada pembekal yang beralamat di Pasir Mas, Kelantan, dengan penghantaran menggunakan lori dipercayai dilakukan dua hingga tiga kali seminggu.
"Pemeriksaan di sebuah stor turut menemukan 500 kotak ayam sejuk beku yang digunakan untuk 'chicken chop' seberat 6,000 kg," katanya.
Sementara itu, Ahmad Radzi memberitahu, di Pahang, serbuan ke atas sebuah premis pemprosesan ayam di Felda Chini 4, Chini, Pekan pada 11 November lalu membawa kepada penahanan lapan lelaki tempatan terdiri daripada pemilik premis dan pekerja.
Kata beliau, pemeriksaan menemukan 577 ekor ayam, termasuk ayam diproses dan ayam hidup seberat keseluruhan 1,412.30 kg, selain sebuah lori, mesin pemprosesan serta peralatan lain dengan nilai rampasan keseluruhan RM136,747.60.
Jelasnya, Op Salju Mega yang dilancarkan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman dari 9 hingga 12 November itu turut melibatkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia.
Beliau memberitahu, kegiatan berkenaan bukan sahaja menyebabkan ketirisan hasil negara dan menjejaskan peniaga yang mematuhi undang-undang, malah menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan makanan serta integriti rantaian bekalan halal negara.
Menurutnya, kesemua individu ditahan dan barang rampasan diserahkan kepada agensi berkaitan untuk tindakan lanjut mengikut bidang kuasa masing-masing.