VFive Group serah RM2.5 juta zakat perniagaan kepada PPZ-MAIWP

Iklan
Penyerahan simbolik zakat berkenaan telah disempurnakan oleh Mohd Syafiq kepada Abdul Hakim dengan disaksikan Ahmad Fauwaz.

KUALA LUMPUR – VFive Group Sdn. Bhd. menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM2.5 juta kepada Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) pada Jumaat.

Penyerahan zakat perniagaan itu juga merupakan manifestasi komitmen berterusan syarikat selaku entiti bumiputera dalam memperkukuh agenda tanggungjawab sosial korporat (CSR) serta menyokong pembangunan sosioekonomi komuniti asnaf, khususnya di Lembah Klang.

Iklan
Iklan

Penyerahan simbolik zakat berkenaan telah disempurnakan oleh Pengarah Urusan Kumpulan VFive Group, Datuk Mohd Syafiq Abdullah kepada Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman, dengan disaksikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Ahmad Fauwaz Ali @ Fadzil.

Majlis penyerahan tersebut berlangsung bersempena Sambutan Israk Mikraj 1447H yang dianjurkan oleh VFive Group pada Jumaat, sekali gus menyatukan penghayatan kerohanian dengan pelaksanaan tanggungjawab korporat.

Iklan

Pemilihan Sambutan Israk Mikraj sebagai latar majlis membawa makna tersendiri, selari dengan prinsip ketaatan, amanah dan integriti yang menjadi asas kepada pelaksanaan zakat perniagaan.

Ia turut mencerminkan pendekatan VFive Group dalam menyelaraskan nilai kerohanian dengan tadbir urus serta amalan korporat syarikat.

Iklan

Dalam ucapannya, Mohd Syafiq menegaskan bahawa penyerahan zakat tersebut bukan sekadar memenuhi tuntutan syariat, malah mencerminkan nilai empati, ihsan dan amanah yang menjadi teras falsafah perniagaan VFive Group.

“Ini adalah pendekatan shared prosperity yang kami terapkan, di mana manfaat keuntungan yang diperoleh dikembalikan semula kepada masyarakat melalui saluran zakat yang telus,” katanya.

Beliau turut menekankan peranan zakat sebagai instrumen strategik dalam memperkukuh kesejahteraan masyarakat Islam, khususnya bagi membantu golongan yang terkesan akibat tekanan ekonomi dan peningkatan kos sara hidup.

“Di VFive Group, kami melihat zakat bukan sekadar tuntutan fardu, tetapi sebagai mekanisme pembangunan ummah yang mampan. Kami komited untuk memastikan setiap rezeki yang dikurniakan dapat dikongsi bersama golongan yang memerlukan, selari dengan prinsip tadbir urus beretika dan nilai Islam yang menjadi tunjang organisasi,” ujarnya.

Selain menunaikan zakat perniagaan, VFive Group turut aktif melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan dan program kemasyarakatan menerusi Yayasan VFive. Sepanjang tahun 2025, syarikat tersebut telah memperuntukkan kira-kira RM30 juta bagi pelaksanaan program CSR merangkumi bantuan kebajikan, pembangunan komuniti dan sokongan pendidikan.

Antara inisiatif yang telah dilaksanakan termasuk penyediaan 750 pek makanan iftar harian, sumbangan baju raya percuma kepada anak-anak yatim, program singgah sahur, tajaan menunaikan umrah pada bulan Ramadan, edaran kampit beras bulanan serta pelbagai bentuk bantuan kepada masjid, surau, pusat tahfiz dan institusi pendidikan.

Komitmen kebajikan VFive Group turut melangkaui sempadan negara menerusi penyaluran bantuan kepada masyarakat Islam di luar negara, termasuk inisiatif kebajikan di Masjidil Haram, Madinah serta beberapa wilayah di Indonesia sebagai usaha menyantuni ummah secara menyeluruh dan inklusif.

VFive Group percaya bahawa sinergi antara kejayaan korporat dan kesejahteraan masyarakat merupakan asas kepada pertumbuhan yang lestari.

Sehubungan itu, pihak pengurusan VFive Group bersama Yayasan VFive sentiasa mengalu-alukan cadangan kerjasama strategik bagi memastikan lebih ramai komuniti dapat dibantu dan menikmati kualiti kehidupan yang lebih baik.