SIBU - Pasangan suami isteri yang juga pekerja ladang ditemukan rentung manakala enam lagi penghuni terselamat dalam kebakaran yang memusnahkan kuarters pekerja di sebuah ladang di Miri, awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mangsa yang maut ialah Berain Skam dan isterinya, Terit Lenjau, kedua-duanya berusia 37 tahun yang menghuni Unit A kuarters terbabit.
Mereka terselamat pula terdiri daripada lima individu dewasa dan seorang kanak-kanak yang menghuni Unit B.
"Kebakaran itu melibatkan struktur kuarters kayu berkembar setingkat, satu blok dua pintu, dengan keluasan dianggarkan 40 x 30 meter persegi,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Menurut jurucakap itu, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 5.59 pagi sebelum Pasukan Keluaran Operasi (PKO) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 40 kilometer dari balai.
Pemadaman awal telah dilakukan oleh pekerja ladang menggunakan 30 unit alat pemadam api serta tiga unit pam air sebelum api berjaya dipadamkan sepenuhnya.
"Pasukan bomba hanya menjalankan pemantauan di sekitar kawasan kejadian dan seterusnya menyerahkan mangsa kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” kata jurucakap itu.
Operasi tamat sepenuhnya pada 9.16 pagi selepas keadaan disahkan selamat dan tiada risiko kebakaran berulang manakala punca kebakaran sedang disiasat. - Bernama