'Tiada pasukan A, B atau C dalam DAP' - Anthony

Iklan
Anthony ketika menyampaikan ucapan perasmian Konvensyen DAP Selangor pada Ahad. Foto Sinar Harian - ASRIL ASWANDI SHUKOR

KLANG - [DIKEMAS KINI] DAP menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa kenyataan yang bercanggah daripada kepimpinan utama parti itu datang daripada ‘team B’.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke turut menolak dakwaan kononnya perkara itu dimaklumkan sendiri oleh beliau kepada Ahmad Zahid, sambil menegaskan tidak wujud pasukan A, B atau C dalam DAP.

Iklan
Iklan

"Saya menafikan sekeras-kerasnya, saya tak pernah cakap dengan Datuk Seri Ahmad Zahid atau sesiapa pun berhubung isu ini. Daripada mana mereka dapat informasi sebegini?

"Dalam DAP, tak ada 'team' A, B atau C, hanya ada satu sahaja pasukan iaitu 'team DAP'!" katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Konvensyen Tahunan DAP Selangor di sini pada Ahad.

Anthony bagaimanapun mengakui ada menyuarakan pandangan berhubung kenyataan yang dibuat Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin, khususnya berkaitan reaksi terhadap keputusan mahkamah membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Iklan

"Betul, saya ada sebut dan beri pandangan berkenaan apa yang berlaku. Saya secara terbuka mengatakan bahawa saya kurang bersetuju dengan pendekatan tersebut dan tak perlu bersorak atau raikan (keputusan mahkamah kes Najib).

"Kita boleh ada pandangan berbeza dalam DAP dan kita uruskan secara dalaman, tak ada masalah," ujarnya.

Sementara itu, dalam nada sinis, beliau menyifatkan isu berkenaan seolah-olah menjadi penggulungan kepada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 yang melabuhkan tirai pada Sabtu.

Ini kerana menurutnya, DAP paling banyak disebut sepanjang perhimpunan itu, membuatkan pihaknya terpanggil untuk memperbetulkan beberapa perkara berbangkit.

Ahmad Zahid ketika PAU 2025 mendakwa 'team B' merupakan dalang kepada kenyataan anti-Najib.

Mengulas lanjut, Anthony berpandangan, dakwaan mengatakan Bee Yin berbeza pandangan dalam DAP tidak munasabah kerana beliau merupakan Setiausaha Publisiti Kebangsaan parti merangkap individu penting bagi Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC).

Anthony turut menekankan bahawa pihaknya komited dalam memastikan Kerajaan Perpaduan dapat dijayakan, meskipun mengakui perjalanannya bukan mudah.

"Saya tak pasti apa niat beliau sama ada tersasul atau memang berniat tidak baik, saya tak tahu. Bukannya saya boleh baca isi fikiran mereka pun, tetapi tidak ada perkara sebegitu berlaku dalam DAP.

"Sekali lagi saya tekankan, anda tidak boleh memecahbelahkan kami atau kerajaan kami, ia tidak terpakai kepada DAP.

"Tiada defisit kepercayaan dalam DAP. Kalau ada apa-apa kebimbangan atau ketidakpastian, semuanya dijawab secara dalaman," jelas Menteri Pengangkutan itu lagi.