ALOR SETAR – Masa depan politik rakyat Malaysia khususnya orang Melayu perlu digerakkan ke arah kepimpinan yang berprinsip, bersih dan berintegriti, dengan Pas serta Perikatan Nasional (PN) muncul sebagai pilihan terbaik.
Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Haim Hilman Abdullah mendakwa, Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 jelas memperlihatkan krisis arah tuju parti itu, sekali gus menimbulkan keresahan dalam kalangan orang Melayu yang semakin hilang keyakinan terhadap UMNO.
Menurutnya, UMNO yang suatu ketika dahulu menjadi tonggak perjuangan bangsa kini keliru dan bercanggah antara retorik menolak DAP dengan tindakan mempertahankan Kerajaan Perpaduan yang terasnya ialah DAP.
“Keadaan ini menunjukkan UMNO tidak lagi berpaksikan prinsip, sebaliknya bergantung kepada kuasa dan jawatan untuk kelangsungan politik. Orang Melayu tidak boleh terus terperangkap dengan nostalgia lama, sebaliknya mesti berani memilih harapan baharu,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Exco Kedah itu menegaskan bahawa dalam kekeliruan politik semasa, Pas tampil sebagai parti paling konsisten membawa iltizam membina Malaysia baharu yang lebih bersih dan bermaruah.
Jelasnya, Pas dan PN menawarkan kepimpinan yang berani membawa perubahan, bukan sekadar mempertahankan kebiasaan lama.
“Keistimewaan Pas terletak pada gabungan ulama dan profesional dalam satu saf perjuangan. Perpaduan antara kekuatan moral dan kecekapan pentadbiran ini menjadikan Pas sebuah parti yang seimbang, berprinsip tetapi praktikal, berakhlak tetapi berdaya saing,” ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra berkata, Pas tidak menjanjikan keajaiban segera, namun menawarkan sesuatu yang semakin mahal dalam politik hari ini iaitu kejujuran, prinsip dan kesediaan berkhidmat kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan latar belakang.
Haim Hilman menegaskan bahawa masa depan agama, bangsa dan negara tidak boleh digadaikan kepada politik yang keliru dan tidak berprinsip.
“Pas akan terus fokus untuk menjadi parti pilihan rakyat Malaysia, bukan dengan menanam kebencian, tetapi dengan membina keyakinan. Masa depan politik negara mesti digerakkan oleh kepimpinan yang berani membawa perubahan,” katanya lagi.