BUTTERWORTH - Cadangan pertukaran nama Jalan Pantai Bersih kepada Dragon Temple Lane terus mendapat bantahan kerana dikhuatiri akan menjejaskan keharmonian, kestabilan dan kepentingan rakyat Pulau Pinang.
Ketua Pergerakan Puteri UMNO Pulau Pinang, Ameera Nadia Mohd Shafiee berkata, bantahan itu dibuat dengan mengambil kira faktor sensitiviti kaum, keharmonian masyarakat majmuk serta kepentingan penduduk setempat.
Menurutnya, Jalan Pantai Bersih terletak di kawasan yang majoriti penduduknya adalah masyarakat Melayu dan sebarang perubahan nama jalan yang bersifat simbolik agama atau budaya tertentu wajar dinilai secara berhati-hati agar tidak menimbulkan rasa tidak selesa atau ketegangan antara kaum.
"Nama Jalan Pantai Bersih telah lama digunakan dan dikenali ramai, bukan sahaja oleh penduduk setempat malah oleh masyarakat umum.
"Ia merupakan sebahagian daripada identiti dan sejarah kawasan tersebut serta bersifat neutral dan dapat diterima oleh semua lapisan masyarakat.
"Perubahan nama tanpa keperluan mendesak berpotensi menghakis nilai warisan tempatan yang telah sekian lama terbina,"katanya menerusi satu kenyataan di sini, pada Ahad.
Selain itu, Ameera Nadia berkata, perubahan nama jalan turut membawa implikasi praktikal kepada penduduk dan peniaga setempat, termasuk urusan alamat, dokumen rasmi, sistem navigasi serta perkhidmatan kecemasan yang akhirnya memberi beban pentadbiran dan kos yang tidak perlu kepada rakyat.
Beliau berpandangan sebarang keputusan melibatkan ruang awam perlu dibuat melalui rundingan menyeluruh dengan komuniti setempat dan bukan berdasarkan cadangan sepihak.
Tegasnya, pandangan serta suara penduduk tempatan mestilah diberi keutamaan demi memastikan keharmonian dan kestabilan sosial terus terpelihara.
"Kami menggesa Ketua Menteri Pulau Pinang agar membuat pertimbangan sebaiknya dengan mengambil kira semua faktor termasuk sensitiviti kaum, sejarah setempat, keharmonian masyarakat serta pandangan rakyat sebelum sebarang keputusan dibuat,"katanya lagi.
Sementara itu, Pemuda UMNO Pulau Pinang pula mengutuk cadangan menukar nama Jalan Pantai Bersih yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng sebelum ini jelas tidak sensitif, tidak menghormati penduduk setempat.
Ketuanya, Mohd Helmi Elias berkata, cadangan ini berpotensi mencetuskan ketegangan kaum kerana kawasan tersebut majoritinya didiami oleh masyarakat Melayu sejak sekian lama.
"Jalan Pantai Bersih bukan sekadar sebuah nama, malah ia adalah warisan komuniti dan memori kolektif masyarakat yang tidak wajar dipadamkan sewenang-wenangnya.
"Pemuda UMNO Pulau Pinang menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan provokasi, memainkan sentimen perkauman atau membuat keputusan unilateral tanpa rundingan dan persetujuan rakyat,"katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, Pemuda UMNO Pulau Pinang mendesak agar cadangan ini ditarik balik serta-merta demi memelihara keharmonian masyarakat berbilang kaum dan mempertahankan perpaduan negeri Pulau Pinang.
Dalam pada itu, Mohd Helmi berkata, sebagai tanda solidariti bersama penduduk setempat, Pemuda UMNO Pulau Pinang akan bersama rakyat dan rakan-rakan NGO mempertahankan nama Jalan Pantai Bersih serta menyerahkan memorandum bantahan rasmi kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Difahamkan satu perhimpunan aman bagi membantah mengenai cadangan pertukaran nama Jalan Pantai Bersih akan diadakan pada Khamis depan.