BUTTERWORTH - Cadangan untuk menukar nama Dragon Temple Lane di Jalan Pantai Bersih di sini hanya melibatkan sebahagian kecil laluan dan bukannya keseluruhan jalan seperti yang didakwa sesetengah pihak.
Ketua Sukarelawan Thean Hock Keong, Ng Zhen Feng berkata, cadangan tersebut bertujuan memulihkan nama asal laluan berkenaan yang mempunyai nilai sejarah, khususnya berkaitan kewujudan Tokong Thean Hock Keong yang telah bertapak di Bagan sejak sebelum kemerdekaan.
Menurutnya, Thean Hock Keong merupakan sebuah tokong Cina yang sah, bersejarah dan telah didaftarkan secara rasmi pada tahun 1951, selain menjadi antara tokong ketiga terbesar di kawasan Bagan.
“Cadangan yang dikemukakan bukan untuk menukar keseluruhan nama Jalan Pantai Bersih, sebaliknya hanya memulihkan nama asal ‘Dragon Temple Lane’ bagi laluan sepanjang kira-kira 300 meter sahaja.
“Nama Jalan Pantai Bersih akan terus dikekalkan dan pemulihan nama ini hanya melibatkan premis dalam jarak 300 meter tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.
Zhen Feng menjelaskan, pemulihan nama asal itu hanya melibatkan empat unit premis iaitu dua premis milik Thean Hock Keong, sebuah tokong Cina berdekatan serta Persatuan Bomba Sukarela Bagan Ajam.
Tambahnya, cadangan tersebut tidak melibatkan kawasan perumahan dan majoriti premis terlibat terdiri daripada bukan bumiputera, sekali gus tidak menjejaskan penduduk setempat atau menimbulkan kekeliruan awam.
Beliau berkata, kewujudan nama asal ‘Dragon Temple Lane’ turut dibuktikan melalui beberapa dokumen rasmi kerajaan terdahulu, selain direkodkan dalam alamat serta dokumen pengenalan penduduk lama yang pernah menetap di kawasan berkenaan.
“Cadangan ini bertujuan menghormati dan mengekalkan nilai sejarah serta warisan tempatan yang telah wujud sejak sebelum kemerdekaan negara.
“Oleh itu, isu ini tidak seharusnya diputarbelitkan sebagai isu sentimen atau perkauman, sebaliknya dilihat sebagai usaha pemuliharaan sejarah,” katanya.
Terdahulu, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang membantah cadangan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng untuk menukar nama Jalan Pantai Bersih di sini kepada Dragon Temple Lane.
Ketuanya, Muhammad Zakwan Mustafa Kamal berkata, pihaknya tidak bersetuju sama sekali dengan cadangan untuk menukar nama Jalan Pantai Bersih seperti yang diminta oleh penasihat DAP itu.
Beliau berkata, tidak kira apa pun alasan yang diberikan, AMK Pulau Pinang menegaskan bahawa nama Jalan Pantai Bersih telah sebati dengan penduduk setempat serta mencerminkan identiti kawasan, sejarah dan memori kolektif masyarakat yang telah lama mendiami kawasan tersebut.
Mengulas mengenai perkara itu, Zhen Feng berharap semua pihak termasuk AMK Pulau Pinang dapat mengemukakan pandangan berdasarkan fakta dan bukti sejarah yang jelas serta membuat penelitian menyeluruh sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan isu tersebut.
“Isu ini tidak wajar diputarbelitkan sebagai isu sentimen atau perkauman, kerana hakikatnya ia adalah isu pemuliharaan sejarah dan warisan tempatan,” katanya.