KUANTAN - Polis meminta bantuan orang ramai mengesan seorang pengasuh kanak-kanak yang dilaporkan hilang di Tanjung Gemok, Rompin sejak 13 Ogos tahun lepas.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan Norazmawati Mohd Darwi, 45, daripada anak lelaki orang hilang itu pada jam 9.47 pagi 14 Ogos 2025.
Beliau berkata, isteri kepada seorang nelayan itu, kali terakhir dilihat berbaju kurung dan bertudung di Jalan Selancar, Kampung Tanjung Gemok, Rompin.
"Wanita yang berkulit kuning langsat itu tidak pernah menghubungi keluarganya sehingga kini. Pihak polis juga telah membuat hebahan bagi mengesan orang hilang berkenaan.
"Justeru, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan individu tersebut diminta tampil ke balai polis berdekatan,” katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.
Maklumat juga boleh disalurkan dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah (PKD) Ibu Pejabat Polis Daerah Rompin menerusi talian 09-4145999. - Bernama