Kolaborasi agung tidak gugat Kerajaan Perpaduan - Azalina

Iklan
Azalina - Foto: Bernama

KUALA LUMPUR - Pembentukan kolaborasi agung bukan satu bentuk kerjasama politik dan sama sekali tidak bertujuan untuk menggugat atau menggantikan Kerajaan Perpaduan.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, usaha ini merupakan satu ruang musyawarah dan kolaborasi berasaskan titik persamaan isu bersama, khususnya berkaitan kepentingan Melayu dan Islam.

Iklan
Iklan

Jelasnya, penubuhan kolaborasi tersebut adalah langkah ke arah memberi ruang berdialog untuk orang Melayu yang merupakan majoriti rakyat di negara ini.

“Usaha ini juga melangkaui sempadan politik kepartian, melibatkan pertimbangan pandangan daripada badan bukan kerajaan (NGO), organisasi masyarakat sivil (CSO) dan pelbagai pihak berkepentingan yang berkongsi aspirasi memperkukuh kedudukan Melayu dan Islam dalam kerangka negara majmuk.

Iklan

“UMNO mengambil tanggungjawab ini secara serius kerana UMNO merupakan satu-satunya parti Melayu yang mempunyai legitimasi, autoriti dan kedudukan dalam kerajaan. Perbezaan politik bukan alasan untuk tidak bersama atas kelangsungan satu bangsa dan agama.

“Ia untuk membawa agenda kepentingan Melayu dan Islam ke dalam kerangka pentadbiran negara secara sah dan berkesan,” katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Ahmad Zahid ketika menggulung ucapan dasar presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini pada Sabtu menyatakan hasrat untuk membentuk grand collaboration atau kolaborasi agung bagi menyatukan parti politik Melayu dan Islam di negara ini.

Mengulas lanjut, Azalina berkata, UMNO pada masa sama kekal komited kepada kestabilan negara, perpaduan rakyat dan kelangsungan Kerajaan Perpaduan bagi memastikan amanah terhadap agama, bangsa serta negara terus dipelihara.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan perwakilan menyatakan persetujuan secara jelas dengan cadangan yang dikemukakan Ahmad Zahid.

Ujarnya, sokongan tersebut dizahirkan sebanyak tiga kali di dewan persidangan berkenaan.

“Ini menunjukkan kesepakatan bahawa perbincangan seperti ini perlu diadakan secara matang dan bertanggungjawab,” katanya.