KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau telah dipertanggungjawabkan secara rasmi sebagai menteri yang menjaga Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Felda Global Ventures (FGV).
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, beliau menerima surat daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memaklumkan mengenai perkara itu, semalam.
"Semalam saya dapat surat daripada Perdana Menteri yang menyebutkan tanggungjawab baharu saya sebagai menteri yang menjaga Felda dan FGV dengan rasminya,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2025 di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata, beliau akan menggalas tanggungjawab itu dengan bantuan seorang timbalan menteri bagi menguruskan hal ehwal berkaitan peneroka dan Felda yang disifatkannya sebagai tugas yang berat.
Dalam sidang media selepas itu, beliau berkata, Felda masih berada di bawah Jabatan Perdana Menteri.
"NADMA juga berada di bawah JPM, begitu juga Majlis TVET yang saya pengerusikan. Itulah kedudukannya ketika ini.
"Tiada lagi 'dotted line'. Sebelum ini, peranan berkenaan dalam menjaga FELDA hanya bersifat sokongan secara tidak formal kepada Perdana Menteri, namun kini ia telah dimuktamadkan dan diformalkan," katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, UMNO tidak pernah menekan atau mengemukakan tuntutan melampau kepada Perdana Menteri.
"Saya ingin menegaskan bahawa dokongan UMNO kepada kerajaan ketika ini kekal. Kita tidak pernah menekan atau meminta Perdana Menteri tunduk.
"Beliau memaklumkan bahawa kita tidak boleh meminta semua dan tidak mampu memberikan semua kerana terdapat 17 parti dalam kerajaan ketika ini.
"Oleh itu, perkongsian kuasa dan pengagihan jawatan, walaupun tidak sama rata, tetap mengambil kira permintaan parti-parti yang bergabung dalam Kerajaan Perpaduan," katanya. - Bernama