KINABATANGAN - Banyak suara rakyat di peringkat akar umbi selama ini gagal didengari kerana maklumat tidak disalurkan melalui saluran yang betul, menyebabkan sebahagian penduduk seolah-olah terpinggir daripada arus pembangunan.
Untuk mengubah keadaan itu, calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Kinabatangan, Mohd Naim Kurniawan Moktar menjadikan lawatan ke setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) sebagai keutamaan.
Menurut Mohd Naim, pendekatan turun padang ini bukan sekadar simbolik, sebaliknya penting bagi merangka perancangan pembangunan yang menyeluruh dan berpaksikan keperluan sebenar rakyat.
Beliau menekankan bahawa setiap kawasan perlu diberi perhatian bagi memastikan tiada kampung atau komuniti yang tercicir.
"Setiap teguran dan permintaan penduduk akan dinilai secara teliti sebelum dijadikan dasar tindakan.
"Hanya dengan melihat situasi sebenar barulah perancangan pembangunan dapat dirangka secara tepat dan menyeluruh," katanya semasa melakukan lawatan ke PDM Inarad, pada Jumaat.
Tambah beliau lagi, lawatan ke kampung dan pelosok kawasan memberi peluang untuk menyaksikan sendiri realiti kehidupan penduduk, termasuk masalah harian dan hasrat mereka yang sering kali tidak sampai ke pengetahuan pihak luar.
Katanya, pendekatan itu juga membolehkannya mengenal pasti keutamaan pembangunan secara lebih spesifik mengikut keperluan setiap PDM.
"Pendekatan ini juga memastikan tiada kampung tercicir daripada arus pembangunan. Kita mahu pastikan setiap suara rakyat didengar dan dimasukkan dalam perancangan jangka panjang.
"Perancangan pembangunan tidak boleh terhad pada lokasi tertentu sahaja.
Saya mahu pastikan setiap perancangan yang dibuat merangkumi semua tempat, tanpa ada mana-mana PDM atau kawasan yang tertinggal," tegasnya.