JOHOR BAHRU – Kecuaian seorang pemandu lori yang tidak menarik brek tangan ketika berhenti mengundang tragedi apabila mengakibatkan seorang lagi pemandu lori yang menunggu giliran memuatkan barang maut terhimpit antara dua kenderaan dalam kejadian di sebuah kilang di sini pada Jumaat.
Menurut Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak, kejadian dipercayai berlaku pada jam 10.10 pagi dan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 10.20 pagi.
"Kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah lori jenis CK450UN dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 58 tahun tiba ke lokasi.
"Dia kemudiannya meletakkan lori dipandunya itu di tempat yang curam tidak jauh di belakang lori mangsa, seorang lelaki warga tempatan berusia 55 tahun sedang berdiri antara lorinya jenis Mitsubishi Fiso dengan van jenis Toyota Hiace bagi menunggu giliran memuatkan barang.
"Bagaimanapun, tiba-tiba lori berkenaan bergerak sendiri lalu melanggar lori mangsa sehingga menyebabkan mangsa terhimpit di antara lorinya dan van Toyota Hiace," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Tambah Mohd Sohaimi, akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian dalaman dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, mangsa juga telah dibawa ke Hospital Pasir Gudang untuk di bedah siasat.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.
"Sebarang maklumat daripada saksi boleh disalurkan kepada pihak polis di talian 07-3864222 bagi membantu siasatan.
"Polis turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengamalkan sikap sabar dan mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya serta kod lalu lintas selain sentiasa berhemah, berjaga-jaga dan serius ketika berada di jalan raya," ujarnya.