SEREMBAN - Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Negeri Sembilan akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca insiden letupan tong silinder gas amonia bocor yang berlaku di susur keluar Plaza Tol Seremban menghala utara pada Khamis.
JKKP Negeri Sembilan dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan, tindakan perundangan akan diambil ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya terdapat pelanggaran di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan peraturan-peraturan di bawahnya.
Iklan
Iklan
"Jabatan memandang serius setiap kemalangan mahupun penyakit pekerjaan yang berpunca daripada mana-mana aktiviti dalam setiap sektor pekerjaan.
"Jabatan juga sentiasa komited dalam meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam negara,” menurut kenyataan itu.
Semalam, tiga individu masing-masing seorang pengawal keselamatan, jurutol dan pemandu lori dilaporkan mengalami sesak nafas selepas satu daripada 15 tong silinder gas amonia dalam sebuah lori meletup dan mengalami kebocoran di susur keluar Plaza Tol Seremban arah utara. - Bernama