AKPS rampas 1.2 tan daging sejuk beku dari Australia

Iklan
Rampasan daging sejuk beku di Zon Komersial Bebas Kargo KLIA pada Khamis. Foto AKPS

SEPANG - Cubaan membawa masuk lebih 1.2 tan daging lembu dan kambing sejuk beku melalui Zon Komersial Bebas (FCZ) di Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berjaya digagalkan pada Khamis.

Tindakan dilaksanakan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) KLIA hasil pemeriksaan ke atas satu konsainan import kira-kira jam 7 malam.

Iklan
Iklan

AKPS KLIA dalam kenyataan berkata, pemeriksaan mendapati daging lembu dan kambing sejuk beku berkenaan gagal mematuhi syarat permit import Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) apabila pihak pengimport tidak dapat mengemukakan sijil kesihatan asal yang sah dari negara pengeksport.

“Komoditi seberat 1,234.90 kilogram berkenaan diimport dari Australia oleh sebuah syarikat tempatan dengan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM134,057.37.

Iklan

"Kesemua barangan rampasan ditahan bagi tindakan lanjut mengikut prosedur serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa," katanya pada Jumaat.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana gagal mematuhi syarat permit import yang ditetapkan.

Iklan

AKPS turut menegaskan komitmen berterusan agensi itu dalam memastikan kawalan kemasukan barangan import ke negara ini sentiasa mematuhi perundangan serta tidak menjejaskan keselamatan, kesihatan awam dan kepentingan negara.