Ahli perniagaan rugi RM2.71 juta ditipu pegawai polis, Timbalan Pendakwa Raya palsu

Iklan
Mohd Khairi berkata seorang ahli perniagaan mengalami kerugian hampir RM2.71 juta selepas menjadi mangsa penipuan melalui panggilan telefon.

KUALA TERENGGANU – Seorang ahli perniagaan mengalami kerugian hampir RM2.71 juta selepas menjadi mangsa penipuan melalui panggilan telefon atau phone scam oleh individu yang menyamar sebagai pegawai polis dan Timbalan Pendakwa Raya.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, mangsa lelaki berusia 64 tahun itu diperdaya sindiket yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Uptown Petaling Jaya sebelum disambungkan kepada individu menyamar sebagai Timbalan Pendakwa Raya.

Iklan
Iklan

"Mangsa dimaklumkan kononnya terlibat dalam kes pengubahan wang haram dan diarahkan memastikan sejumlah wang mencukupi berada dalam akaun banknya bagi tujuan siasatan.

"Sepanjang hampir lima bulan, bermula September 2025 hingga awal Januari 2026, mangsa tidak dibenarkan membuat sebarang transaksi perbankan," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Iklan

Beliau berkata, mangsa telah melakukan sebanyak 55 transaksi melibatkan pindahan wang dalam talian dan deposit tunai ke dalam lima akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan kerugian RM2,707,965.

Tambah beliau, semua urusan dilakukan melalui panggilan telefon menggunakan beberapa nombor antaranya 014-672 9161, 014-244 7614, 014-745 5960 dan 011-1239 2025.

Iklan

"Sepanjang tempoh tersebut, mangsa juga diarahkan supaya tidak memeriksa atau melakukan sebarang transaksi menggunakan akaun bank sendiri sehingga pertengahan Januari 2026," jelasnya.

Mohd Khairi berkata, mangsa yang berasa curiga telah tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu pada Khamis.

"Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Terengganu telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan berkaitan kes berkenaan," ujarnya.

Sementara itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan sebarang panggilan telefon mencurigakan dan tidak mudah mempercayai individu yang mendakwa sebagai pegawai atau pihak berkuasa.

Jelas beliau, sebarang dakwaan berkaitan siasatan atau kesalahan jenayah perlu disahkan terus dengan pihak berkuasa.

"Masyarakat dinasihatkan supaya tidak terpedaya dengan dakwaan dibuat oleh pemanggil bagi mengelak menjadi mangsa sindiket penipuan," katanya.