Gas pendingin hawa meletup: Mangsa alami pendarahan dalam otak, patah pinggang

Iklan
Laporan Sinar Harian mengenai insiden letupan dipercayai berlaku di kawasan penyelenggaraan penyaman udara yang terletak bersebelahan kafeteria di tingkat empat universiti berkenaan. Gambar kecil: Fadil

KUALA LUMPUR - Dua penuntut universiti swasta masih menerima rawatan hospital selepas terlibat dalam insiden letupan gas pendingin hawa di bangunan universiti terbabit di Bukit Damansara di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, seorang daripada penuntut terbabit berusia 19 tahun kini sedang dirawat di High Dependency Ward (HDW) Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Iklan
Iklan

"Setakat 16 Januari (Jumaat), mangsa masih belum sedarkan diri dan berada di bawah pemantauan rapi pihak perubatan.

"Mangsa mengalami koma, tidak sedarkan diri, pendarahan dalam otak serta retak tengkorak," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Tambah Fadil, seorang lagi penuntut universiti terbabit berusia 18 tahun patah pinggang sebelum dikejarkan ke HKL.

Katanya, mangsa telah dibenarkan keluar dari HKL pada 13 Januari dan pada hari sama mendapat rawatan di Hospital Pantai Kuala Lumpur sebelum selesai menjalani pembedahan gigi pada 15 Januari dan berada dalam keadaan stabil.

Iklan

"Mangsa dijadualkan menjalani pembedahan pinggang pada jam 2 petang, 17 Januari (Sabtu)," ujarnya.

Sementara itu, seorang penyelia berusia 54 tahun yang mengalami melecur dan serpihan besi di dalam badan telah selesai menjalani pembedahan di HKL.

Jelasnya, mangsa telah sedar dan stabil serta berada di bawah pemantauan rapi doktor untuk rawatan susulan.

Bagi pekerja kantin warga Indonesia di universiti terbabit, ujar Fadil, mangsa berusia 22 tahun ini dilaporkan dalam keadaan baik dan dibenarkan keluar dari Hospital Sungai Buloh pada Khamis.

"Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.40 pagi, Isnin lepas, seorang lelaki disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di HKL manakala sembilan lagi cedera.

Mangsa yang maut berusia 24 tahun di universiti swasta terbabit sedang menjalani Latihan Industri (LI).