KUALA LUMPUR - Jumlah ahli UMNO mencecah 3.52 juta orang tidak menjamin kemenangan pada pilihan raya, malah jauh sekali mencerminkan kekuatan parti.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, situasi itu adalah realiti yang perlu dihadapi dengan berani.
Mengambil contoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, beliau menegaskan, ia menjadi 'wake up call' terbesar untuk UMNO negeri itu apabila memasuki gelanggang dengan keyakinan memiliki sokongan lebih 600,000 ahli, namun undi diterima hanya 144,584..
"Pengajarannya, ahli bukan semestinya pengundi dan pengundi tidak semestinya kekal bersama kita.
"Sejarah politik Sabah mencatat tiga 'Exodus' gelombang penghijrahan besar-besar iaitu pada 2016 dengan penubuhan Parti Warisan, 2018 apabila sebahagian pimpinan menyertai Bersatu dan 2023, sebahagian lagi berhijrah ke GRS.
"Setiap gelombang ini telah menghakis kekuatan UMNO, memotong satu demi satu, urat nadi perjuangan UMNO Sabah," katanya ketika berucap membentangkan Laporan Setiausaha Agung pada Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL,) pada Jumaat.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi menjelaskan, trend penurunan sokongan tidak hanya berlaku di Sabah sahaja, sebaliknya dalam tiga siri pilihan raya umum (PRU) iaitu PRU13, PRU14 dan PRU15 yang turut menunjukkan pola sama berulang.
Justeru menjelang PRN Melaka, Johor dan seterusnya PRU16, beliau menegaskan, UMNO perlu sedar jumlah keahlian yang besar tidak mampu menjamin kemenangan.
"Statistik di banyak negeri menunjukkan jurang ketara antara jumlah ahli dan jumlah undi diterima.
"Inilah realiti penghijrahan politik yang mesti kita hadapi dengan berani. Bukan sahaja di Sabah, tetapi di seluruh negara.
"Kesetiaan hari ini tidak boleh lagi dianggap automatik. Apabila nafsu serakah mengatasi prinsip, kepentingan peribadi mengatasi amanah perjuangan, maka kita akan kehilangan nusrah ALLAH walau seramai mana pun kita di atas kertas," ujarnya.