Buka ruang penyertaan semula demi penyatuan Melayu – Ahmad Maslan

Iklan
Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR – Usaha menarik semula penyertaan mereka yang pernah meninggalkan parti atau tidak lagi menyokong UMNO merupakan antara agenda besar yang sedang diberi perhatian kepimpinan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, UMNO bersedia membuka pintu seluas-luasnya kepada individu, termasuk tokoh-tokoh besar parti yang pernah dikenakan tindakan disiplin atau kini berada dalam parti lain untuk kembali bersama demi penyatuan orang Melayu.

Iklan
Iklan

"Selain daripada agihan kuasa dan penyatuan rumah bangsa, satu lagi perkara ialah mengenai Musyawarah Nasional.

"Kedua-duanya saling berkaitan dan kita harap agar ia dapat dilaksanakan agar orang Melayu bertaut kembali di bawah rumah bangsa UMNO," katanya ketika ditemui selepas ucapan dasar Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), pada Jumaat.

Iklan

Sebelum ini Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa bagi menerima kemasukan atau penyertaan semula bekas ahli parti itu.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) memaklumkan, penyertaan semula itu boleh dilakukan secara individu atau en bloc (serentak).

Iklan

Dalam pada itu Ahmad Maslan yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya menegaskan, penyatuan nasional perlu berteraskan kepada empat tunjang utama Perlembagaan Persekutuan yang wajib dihormati semua pihak.

Empat perkara tersebut ialah Raja-Raja Melayu, hak istimewa Bumiputera, Islam sebagai agama Persekutuan serta bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

"Empat perkara ini adalah tiang seri dan tunjak utama Perlembagaan negara.

"Ia juga menjadi garis merah yang tidak boleh dilanggar dalam membina keharmonian masyarakat majmuk," katanya.