TUMPAT – Helah seorang lelaki menggunakan dua MyKad milik individu lain untuk menebus subsidi petrol Budi Madani RON95 (BUDI95) terbongkar apabila dia ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara di sebuah stesen minyak di sini, pada Khamis.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, suspek berusia lingkungan 30-an itu ditahan oleh anggota Batalion 7 PGA pada jam 11 pagi ketika cuba melakukan penebusan subsidi di sebuah stesen minyak di Pengkalan Kubor.
“Pemeriksaan mendapati suspek menggunakan dua kad pengenalan berwarna biru yang bukan miliknya bagi tujuan penebusan subsidi petrol.
“MyKad terbabit masing-masing milik wanita,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, tindakan itu menimbulkan kecurigaan sebelum pemeriksaan lanjut dilakukan dan membawa kepada penahanan suspek di lokasi kejadian.
Kes disiasat di bawah Peraturan 25(1)(o), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana menyalahgunakan dokumen pengenalan diri.
Sebelum ini, BUDI95 diperkenalkan kerajaan pada 30 September tahun lalu sebagai satu mekanisme bersasar bagi memastikan subsidi petrol RON95 hanya dinikmati oleh golongan yang benar-benar layak, selaras dengan usaha mengekang ketirisan dan penyalahgunaan subsidi.
Melalui pelaksanaan ini, subsidi RON95 disalurkan kepada warganegara Malaysia yang memenuhi kriteria ditetapkan, termasuk pemilikan kenderaan berdaftar atas nama sendiri serta kelayakan pendapatan yang ditentukan oleh kerajaan.
Setiap penebusan subsidi dikaitkan secara langsung dengan MyKad pemilik kenderaan, menjadikan penggunaan kad pengenalan milik individu lain sebagai satu kesalahan serius yang boleh dikenakan tindakan undang-undang.