SEPANG - Polis menunggu laporan forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi menentukan punca kejadian kebakaran kilang hingga menyebabkan tiga mangsa rentung di Olak Lempit, Kuala Langat baru-baru ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, buat masa ini punca kejadian masih belum diketahui lagi.
"Kita (polis) tidak dapat tentukan lagi kerana rakan strategik iaitu bomba masih menjalankan forensik kebakaran.
"Kita menunggu outcome forensik bomba untuk berkongsi maklumat dan hala tuju seterusnya," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah KLIA di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA di sini pada Jumaat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata, tiga individu yang ditemui rentung dalam kebakaran itu disyaki merupakan etnik Rohingya.
Kata Mohd Akmalrizal, ketiga-tiga mangsa telah dihantar ke Hospital Banting bagi menjalani ujian perbandingan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) untuk pengesahan identiti.
"Tiga individu telah tampil mengaku sebagai ahli keluarga kepada mangsa yang rentung dan kesemuanya merupakan etnik yang sama berdasarkan rujukan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
"Selepas keputusan DNA daripada Hospital Banting diperoleh, pihak polis akan memaklumkan identiti sebenar ketiga-tiga mangsa itu," katanya dalam kenyataan.
Dalam kejadian pada Rabu, sepasukan anggota JBPM telah dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan pada jam 10.03 malam melibatkan kebakaran empat kilang.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar dilaporkan berkata, semua mangsa ditemui di kilang iaitu sebuah gudang memproses minyak yang terbakar 100 peratus.
Pasukan bomba menemukan tiga mangsa itu ketika operasi memasuki peringkat ‘overhaul’ sekitar jam 2.30 pagi (Khamis).