SEREMBAN - Tiga individu termasuk jurutol dan pengawal keselamatan terpaksa dikejarkan ke hospital selepas mengalami sesak nafas apabila berlaku kebocoran gas amonia di sebuah lori di susur keluar ke Plaza Tol Seremban menghala ke Kuala Lumpur pada Khamis.
Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.40 petang sebelum tiba di lokasi 10 minit kemudian.
"Insiden membabitkan sebuah lori jenis Isuzu yang membawa muatan 15 tong silinder gas amonia, yang mana satu daripada tong silinder tersebut didapati mengalami kebocoran.
“Tindakan segera telah diambil dengan melakukan kerja-kerja penstabilan, termasuk menutup tong yang bocor menggunakan 'absorbent towel' sementara menunggu kontraktor bagi tujuan pemindahan tong-tong gas tersebut,” katanya.
Menurutnya, kejadian itu mengakibatkan tiga mangsa mengalami sesak nafas iaitu seorang wanita yang bekerja sebagai jurutol, seorang lelaki yang merupakan pengawal keselamatan PLUS serta seorang lelaki yang merupakan pemandu lori.
Ujarnya, kesemua mangsa telah dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar untuk tindakan lanjut.