Aset bernilai jutaan ringgit dicadang dilucut hak, serah kepada kerajaan

Iklan
Azam

PUTRAJAYA - Aset bernilai jutaan ringgit yang dirampas dalam siasatan melibatkan seorang bekas Panglima Tentera Darat akan dicadangkan dilucut hak dan diserahkan kepada kerajaan untuk manfaat kepada rakyat.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, permohonan pelucuthakan sedang disiapkan mengikut prosedur mahkamah ketika ini.

Iklan
Iklan

"Tindakan itu bagi memastikan semua aset berkenaan diserah milik secara sah kepada kerajaan mengikut peruntukan undang-undang.

"Bagaimanapun tindakan itu bergantung kepada Timbalan Pendakwa Raya selain memerlukan kebenaran mahkamah di bawah Seksyen 41 Akta SPRM 2009," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM di sini pada Khamis.

Iklan

Katanya, keseluruhan barangan disita berjumlah RM 11.4 juta melibatkan siasatan terhadap bekas pegawai tertinggi Tentera Darat itu.

"Antara barangan yang disita melibatkan wang tunai berjumlah RM4.4 juta, mata wang asing bernilai RM1.4 juta, sebuah kereta Range Rover SVR bernilai RM360,000 dan 26 unit jam tangan mewah bernilai RM2.3 juta.

Iklan

"Turut disita melibatkan pelbagai barang kemas bernilai RM294,039.90, dua cincin berlian RM20,000, jongkong emas seberat 3.7 kilogram bernilai RM2.5 juta, medalion emas 150 gram bernilai RM102,000 dan dua dinar emas seberat 8.5 gram bernilai RM5,780," katanya.

Menurutnya, kesemua berangan berkenaan dirampas di sebuah rumah di Kuala Lumpur dan di Besut, Terengganu.

"Sebanyak 75 akaun syarikat berjumlah RM32.5 juta turut dibekukan bagi membantu siasatan," katanya.

Terdahulu, pada 7 Januari lalu, bekas PTD bersama bersama dua isterinya ditahan SPRM berkait projek perolehan tender tentera darat.

Pegawai itu kemudian direman selama tujuh hari manakala kedua-dua isterinya masing-masing direman tiga dan enam hari.

Bekas PTD itu kemudian dilepaskan daripada tahanan reman pada 12 Januari lepas.