Aktiviti lumba lari dicemari dadah, pertaruhan haram

Iklan
Antara individu yang diperiksa dalam Ops Bersepadu yang dijalankan di kawasan Bandar Baru Bataras, Keningau.

KENINGAU - Aktiviti lumba lari yang mula menjadi ‘trend’ di beberapa daerah di negeri ini dicemari unsur tidak sihat apabila bukan sahaja dianjurkan di lokasi tidak bersesuaian, malah turut dikaitkan dengan penggunaan bahan terlarang serta unsur pertaruhan haram.

Susulan maklumat diterima, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau melaksanakan Ops Bersepadu di kawasan Bandar Baru Bataras di sini bagi mengenal pasti penganjuran aktiviti berkenaan yang dipercayai tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintenden Yampil Anak Garai berkata, operasi yang melibatkan 36 pegawai dan anggota itu dijalankan bermula jam 11.30 malam hingga 3 pagi, Sabtu lalu.

"Semasa operasi dijalankan, didapati acara tersebut dihadiri oleh sejumlah remaja dan belia.

Iklan

"Pemeriksaan yang dijalankan menemukan bahan disyaki dadah jenis methamphetamine dan minuman disyaki air ketum.

"Seorang lelaki ditahan di bawah Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala seramai 10 lelaki ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

Iklan

Pasukan polis melaksanakan Ops Bersepadu susulan maklumat awam berkaitan penganjuran aktiviti lumba lari yang tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa.

"Selain itu, Bahagian Trafik turut mengeluarkan 25 saman atas pelbagai kesalahan dan secara keseluruhan, seramai 130 individu dan 105 kenderaan telah diperiksa," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Menurut Yampil, tindakan penguatkuasaan itu bukan bertujuan menghalang aktiviti sukan, sebaliknya dilaksanakan atas faktor keselamatan selain mengambil kira unsur pertaruhan dan salah guna bahan terlarang yang dikesan.

"Polis sentiasa menyokong penganjuran program sukan yang sah, terancang dan mendapat kelulusan pihak berkuasa.

"Namun dalam kes ini, aktiviti dijalankan di atas jalan raya awam tanpa kebenaran serta melibatkan unsur pertaruhan wang dan penyalahgunaan bahan terlarang.

"Sebarang aktiviti yang mengganggu aliran trafik atau mendedahkan orang awam kepada risiko keselamatan adalah satu pelanggaran undang-undang dan perlu diambil tindakan," katanya.

Beliau menegaskan, tindakan yang diambil adalah berasaskan maklumat serta bukti yang diperoleh sepanjang operasi, selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.

"Operasi ini juga bertujuan mencegah risiko kemalangan, penyalahgunaan dadah serta pembudayaan aktiviti tidak sihat dalam kalangan remaja," katanya.