ALOR SETAR – Kerajaan Persekutuan meluluskan sebanyak 38 projek pembangunan di Kedah dengan nilai keseluruhan mencecah RM4.389 bilion melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, daripada jumlah itu, 31 projek merupakan sambungan, manakala tujuh lagi adalah projek baharu yang diluluskan di bawah Rolling Plan Pertama (RP1) Tahun 2026, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Menurutnya, peruntukan yang diluluskan bagi pelaksanaan projek-projek tersebut di bawah RP1 Tahun 2026 untuk negeri ini sahaja berjumlah RM253 juta.
“Pecahan projek mengikut jabatan menunjukkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menerima 21 projek dengan kos keseluruhan RM1.995 bilion, manakala peruntukan tahun 2026 berjumlah RM184 juta melalui geran langsung.
“Jabatan Bekalan Air (JBA) pula melibatkan 14 projek dengan kos RM2.078 bilion. Sebanyak RM59 juta diperuntukkan tahun ini bagi 11 projek secara geran langsung dan RM5 juta lagi untuk tiga projek melalui pinjaman,” katanya pada Khamis.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian dan Penyerahan Projek Pembinaan Loji Rawatan Kumbahan Serantau dan Rangkaian Paip Pembetungan di sini.
Fadillah yang juga Menteri PETRA berkata, bagi Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP), tiga projek diluluskan dengan kos RM316 juta dan peruntukan tahun ini berjumlah RM5.5 juta secara geran langsung.
Menurutnya, antara projek baharu yang menjadi tumpuan tahun ini ialah pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) Sungai Karangan di Kulim dengan kos RM496.124 juta.
“Satu lagi projek utama ialah Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Temin/Bata di Kubang Pasu yang menelan belanja RM290 juta,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kerajaan berusaha memperluas liputan sistem pembetungan berpusat melalui pembinaan loji rawatan kumbahan dan rangkaian paip pembetungan di kawasan bandar berpenduduk padat.
Menurutnya, Loji Rawatan Kumbahan Serantau Kota Setar yang dibina dengan kos RM238.8 juta dalam skala besar mampu menampung keperluan komuniti secara menyeluruh.
“Loji ini kini menjadi loji terbesar di Kedah dengan kapasiti merawat kumbahan sehingga 100,000 penduduk setara (PE) dan boleh ditingkatkan kepada 300,000 PE pada masa akan datang.
“Kaedah ini juga dapat mengurangkan keperluan membina loji-loji kecil di kawasan pembangunan baharu,” katanya lagi.