Karangkraf sedia jalin kolaborasi dengan MDA, perkasa digital media

Iklan
Ketua Pengarang Sinar Harian, Zamri Rambli (kiri) memberi penerangan mengenai Sinar Harian ketika kunjungan hormat ahli majlis MDA di sini pada Khamis.

SHAH ALAM – Karangkraf bersedia menjalin kolaborasi strategik bersama Persatuan Digital Malaysia (MDA) menerusi beberapa program pemerkasaan digital dalam industri media bagi memberi manfaat lebih meluas kepada pelbagai pihak.

Ketua Komunikasi Korporat dan Perhubungan Strategik Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, kerjasama itu penting memandangkan kedua-dua pihak berada dalam ekosistem industri yang sama dan saling memerlukan antara satu sama lain.

Iklan
Iklan

“Hari ini Karangkraf menerima lawatan daripada MDA dan Karangkraf sendiri merupakan ahli persatuan ini.

"Pertemuan ini membuka ruang kepada MDA untuk mengenali dengan lebih dekat pengurusan serta operasi Karangkraf sekali gus membina kefahaman bersama yang lebih kukuh," katanya ketika kunjungan hormat dan mesyuarat bersama ahli majlis MDA dan Karangkraf & Sinar Harian pada Khamis.

Iklan

Ahli Majlis MDA berkesempatan bergambar bersama Pengerusi Karangkraf, Firdaus Hussamuddin (lima dari kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin (empat dari kanan).Turut sama Nik Justin (dua dari kiri) dan Nicholas Sagau (empat dari kiri).

Hadir sama, Pengerusi Karangkraf, Firdaus Hussamuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin.

Iklan

Nik Justin menambah, pihaknya akan merangka beberapa kerjasama strategik dalam masa terdekat bagi memperkasakan industri digital, khususnya dalam sektor media dengan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan dalam ekosistem MDA.

Sementara itu, Presiden MDA, Nicholas Sagau Tony Ngimat berkata, Karangkraf merupakan antara penyokong kuat persatuan itu dan memainkan peranan penting dalam pembangunan industri digital negara.

Menurutnya, MDA sentiasa menekankan kepentingan kerjasama antara pemain industri agar ekosistem digital dapat berkembang secara mampan dan seimbang.

Nicholas Sagau

“Kehadiran semua ahli majlis MDA hari ini amat bermakna kerana kami dapat melihat secara dekat bagaimana Karangkraf beroperasi serta memahami teras perniagaannya.

"Pendedahan terhadap proses di sebalik tabir operasi Karangkraf membantu ahli majlis MDA memahami bagaimana pendekatan media dan penerbitan kini diterjemahkan dalam landskap industri semasa.

"Lawatan ini turut membuka mata ahli majlis terhadap evolusi industri percetakan yang masih kekal relevan walaupun berdepan perubahan teknologi," katanya.