Pengerusi DAP Melaka ucap terima kasih kepada Dr Akmal

Iklan
Dr Akmal umum letak jawatan Exco Melaka di PAU 2025 pada Khamis. Gambar kecil: Poay Tiong

MELAKA – Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong merakamkan penghargaan kepada Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh atas perkhidmatan beliau sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka.

Penghargaan itu disampaikan menerusi satu hantaran ringkas di laman Facebook beliau pada Khamis.

Iklan
Iklan

“Patah tumbuh, hilang berganti, pasang surut lumrah duniawi.

“Terima kasih kepada Dr Akmal atas perkhidmatan beliau sebagai Exco. Selamat maju jaya dalam urusan masing-masing,” tulisnya.

Iklan

Pada Khamis, Ketua Pemuda UMNO, ketika menyampaikan ucapan dasar Perhimpunan Sayap Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Exco Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka.

Bagaimanapun, beliau berkata, tidak akan melepaskan jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO seperti yang diramal sebelum ini.

Iklan

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu berkata, peletakan jawatan tersebut diambil bagi membolehkan beliau memberi fokus kepada perjuangan menentang DAP.

Terdahulu, pada Konvensyen Khas Pemuda UMNO, Dr Akmal mencabar DAP supaya meletakkan jawatan di Melaka memandangkan parti itu merupakan sebahagian daripada kerajaan negeri yang diterajui Barisan Nasional (BN).

Susulan itu, Poay Tiong sebagai respons memaklumkan bahawa DAP Melaka tidak akan ‘termakan’ provokasi yang dicetuskan oleh Dr Akmal, yang mencabar DAP supaya keluar daripada Kerajaan Perpaduan di negeri itu.

Ahli Parlimen Kota Melaka itu turut mempersoalkan kedudukan Dr Akmal yang membolehkan beliau meminta DAP berbuat demikian.

Poay Tiong menegaskan bahawa kedudukan DAP akan ditentukan oleh parti itu sendiri dan bukannya oleh pihak lain.

Pada masa sama, Pemuda Sosial DAP (DAPSY) sebelum ini turut mendesak Dr Akmal supaya meletakkan jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO selagi beliau terus mengkritik DAP dalam Kerajaan Perpaduan.