PUTRAJAYA - Dua pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan didakwa di mahkamah minggu depan berkaitan kes rasuah membabitkan rangkaian kartel tender perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM), pada Khamis.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, kertas siasatan itu dijangka siap dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya pada Isnin.
"Kita akan mencadangkan untuk pertuduhan ke atas dua individu berkaitan kes tersebut," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM di sini pada Khamis.
Media sebelum ini melaporkan, bekas Panglima Tentera Darat (PTD) sudah dibebaskan daripada reman pada jam 6.30 petang Isnin.
Terdahulu dua isteri bekas PTD turut dibebaskan selepas tempoh reman mereka tamat.
SPRM pada 23 Disember tahun lalu hadir ke Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan menyiasat projek-projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab (PTJ) Tentera Darat.
Pada 24 Disember tahun lalu, SPRM sudah memanggil tiga individu untuk dirakam keterangan berhubung kes berkenaan.
Susulan itu, SPRM menyita enam akaun bank dipercayai milik seorang pegawai kanan tentera darat dan ahli keluarganya bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan perolehan projek Tentera Darat Malaysia.
SPRM juga menyita aset mewah bernilai lebih RM2.2 juta susulan penggeledahan di sebuah kediaman di Pantai Timur dipercayai milik isteri kedua kepada bekas pegawai tertinggi tentera darat dan menemui 23 jam tangan Rolex.