Pemuda rayu UMNO buka semula pintu kepada bekas pemimpin

Iklan
Muhamad Akmal Saleh mohon pucuk pimpinan UMNO menerima kembali bekas ahli parti itu.

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] UMNO dirayu untuk membuka semula seluas-luasnya pintu kepada bekas pemimpinnya yang masih lagi sayangkan perjuangan parti itu meskipun ada antara mereka telah menyertai parti lain.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan, ia kerana UMNO hanya akan kembali kuat jika mereka berani saling memaafkan dan menyatu semula.

Iklan
Iklan

“Saya nak mohon kepada pucuk pimpinan parti, sudah-sudahlah kita bertelagah sesama sendiri. Kalau kita bercakap tentang sakit hati, sudah tentu Melayu tak dapat disatukan.

“Sebab itu, saya dengan penuh kerendahan hati memohon supaya pintu UMNO masih lagi dibuka kepada mereka yang masih sayangkan perjuangan parti walaupun ada antara mereka ini sedang digantung, telah dibuang dan sudah masuk parti lain tapi masih berjiwa UMNO.

Iklan

“Maka masih lagi belum terlambat (untuk beri peluang kepada mereka semula) seperti yang Presiden UMNO ungkapkan semalam ‘selamat kembali’ kepada mereka ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO di Perhimpunan Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini pada Khamis.

Dr Muhamad Akmal memaklumkan, ada antara pemimpin tersebut juga yang masih tidak menyertai mana-mana parti sekali gus membukti betapa kasih dan setianya mereka pada wadah perjuangan UMNO.

Iklan

Jelas beliau, sesuatu perbezaan itu sudah menjadi satu lumrah dan perselisihan pula merupakan satu fitrah.

“Tetapi parti besar di nilai pada kebesaran jiwanya. UMNO hanya akan kembali kuat apabila kita berani memaafkan dan menyatu semula. Parti yang yakin dengan kekuatannya tidak takut kepada suara jujur, tidak gentar kepada kepulangan sesiapa, dan tidak goyah kerana perbezaan pandangan.

“Parti yang berpecah tidak punya kekuatan untuk menyatukan orang lain. Penyatuan Melayu mesti bermula dengan penyatuan UMNO. Letakkan ego di tepi dan angkat parti ini dengan satu jiwa. Jangan biarkan sejarah mencatat UMNO rebah kerana kita gagal berdamai di dalam,” ulasnya.

Beliau menegaskan, usaha menyatukan bangsa tidak pernah mudah dan bagi sesiapa yang menyangka bangsa boleh disatukan dengan singkat, sebenarnya tidak belajar daripada sejarah.

Menurutnya, Rasulullah SAW mengambil 13 tahun di Makkah membina jiwa sebelum negara ditegakkan dan selepas hijrah pun Baginda masih terpaksa mendamaikan Aus dan Khazraj yang hampir 120 tahun bermusuhan.

“Bangsa Melayu juga belajar dengan harga sejarah yang mahal. Melaka tidak rebah kerana meriam Portugis, tetapi kerana perpecahan dan khianat dari dalam. Penjajah tidak mencipta perpecahan, mereka hanya mengambil kesempatan.

“Sebab itu, kita tidak boleh memilih jalan paling popular, kita wajib memilih jalan paling bertanggungjawab. Jika perpecahan memberi untung kepada segelintir, penyatuanlah yang menyelamatkan bangsa untuk ratusan tahun akan datang,” ujar beliau lagi.