Pindaan enakmen perlu, pastikan titah Sultan dikuatkuasakan - ADUN

Iklan
Nurul Syazwani

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor digesa meminda segera Enakmen Pengawalan Penternakan Babi (Pindaan) 2010 bagi memastikan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mempunyai kekuatan undang-undang dan dapat dikuatkuasakan sepenuhnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh berkata, titah baginda yang disampaikan Isnin lalu berkaitan pengurusan dan hala tuju operasi penternakan babi di Selangor merupakan ketetapan dasar yang jelas dan berprinsip, namun sehingga kini masih belum dimaktubkan dalam undang-undang bertulis negeri.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, semua ketetapan yang dititahkan Sultan Selangor belum terkandung dalam enakmen sedia ada yang hanya menumpukan aspek teknikal seperti pelesenan, kebersihan dan operasi penternakan.

"Tanpa pindaan ini, titah baginda berisiko menjadi sekadar kenyataan dasar tanpa kekuatan undang-undang dan boleh diputar belit, dilengah-lengahkan atau diketepikan oleh pihak eksekutif," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Iklan

Nurul Syazwani berkata, antara ketetapan penting yang perlu dimasukkan dalam enakmen berkenaan ialah larangan berkanun terhadap operasi penternakan babi di mana-mana kawasan kecuali Bukit Tagar.

"Selain itu, had pengeluaran yang terhad kepada keperluan rakyat bukan Islam di Selangor sahaja tanpa melibatkan eksport dan larangan mutlak penggunaan dana awam atau pelaburan kerajaan negeri," jelas beliau.

Iklan

Nurul Syazwani berkata, kegagalan meminda enakmen itu boleh mewujudkan jurang serius antara titah diraja sebagai dasar dan undang-undang sebagai instrumen pelaksanaan.

Beliau menegaskan, menjunjung titah Sultan Selangor tidak memadai dengan sokongan lisan semata-mata, sebaliknya perlu dizahirkan melalui pindaan undang-undang negeri yang mengikat semua pihak.

"Itulah makna sebenar menjunjung raja dan memelihara kedaulatan undang-undang,” katanya.