Dua wanita Indonesia mangsa eksploitasi diselamatkan Imigresen

Iklan
Dua wanita warga Indonesia yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi buruh paksa dan pemerdagangan orang diselamatkan menerusi operasi berasingan di sini pada 6 dan 12 Januari lalu.

KLANG – Dua wanita warga Indonesia yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi buruh paksa dan pemerdagangan orang diselamatkan menerusi operasi berasingan di sini pada 6 dan 12 Januari lalu.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, dalam serbuan pertama di Kapar, seorang wanita tempatan berusia 38 tahun dipercayai ejen sedang melakukan transaksi penyerahan pembantu rumah kepada majikan di sebuah premis makanan.

Iklan
Iklan

"Dalam operasi tersebut, seorang wanita warga Indonesia berusia 45 tahun berjaya diselamatkan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Zakaria berkata, siasatan awal mendapati mangsa memiliki Pas Lawatan Sosial (PLS) yang masih sah, namun telah dieksploitasi untuk bekerja sebagai pembantu rumah.

Iklan

*Mangsa turut dibebani hutang kos perjalanan sebanyak RM3,000 yang perlu dilunaskan melalui pemotongan gaji bulanan.

"Modus operandi sindiket dikesan menawarkan perkhidmatan pembantu rumah menerusi aplikasi WhatsApp dengan mengenakan bayaran RM8,000 kepada majikan serta menjanjikan gaji bulanan sebanyak RM1,500 kepada pekerja," katanya.

Iklan

Beliau berkata, operasi tersebut dijalankan susulan aduan awam serta risikan Bahagian Pencegahan Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) serta Pengubahan Wang Haram (AMLA) Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

"Dalam operasi kedua di Bukit Jelutong , kita menyelamatkan seorang lagi wanita warga Indonesia berusia 54 tahun di sebuah kediaman yang diubah suai menjadi premis perniagaan makanan," katanya.

Menurutnya, mangsa didapati telah bekerja di premis berkenaan selama hampir sebulan.

"Siasatan mendapati mangsa telah diserahkan oleh ejen kepada majikan dengan bayaran mencecah RM14,000.

"Mangsa dipaksa bekerja melebihi tempoh masa yang ditetapkan, manakala dokumen perjalanan (pasport) dan telefon bimbit mangsa dipegang oleh pihak sindiket, menyebabkan mangsa terputus hubungan dengan ahli keluarga," katanya.

Beliau berkata, mangsa turut berada dalam keadaan trauma akibat penderaan fizikal dan mental serta pergerakan yang dikawal ketat.

"Susulan itu, seorang wanita warga tempatan yang juga pemilik premis berkenaan telah ditahan bagi membantu siasatan," katanya.

Menurutnya, operasi penyelamatan itu dilaksanakan berpandukan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0 bagi tujuan pengenalpastian mangsa pemerdagangan orang.

"Kes disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 [Akta 670]," katanya.

Zakaria berkata, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa peka dan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti eksploitasi warga asing atau pemerdagangan orang bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil.

"Sebarang aduan atau maklumat boleh disalurkan ke Bahagian Pencegahan Atipsom dan AMLA di talian 03-8880 1471 atau e-mel rasmi: urusetia_p@imi.gov.my," katanya.