Lelaki maut motosikal bertembung kereta dipandu wanita hamil

Iklan
Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan kedua-dua kaki. Foto IPD Pendang

ALOR SETAR - Seorang lelaki maut manakala isteri dan anak perempuannya cedera parah selepas motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta dipandu seorang wanita hamil di Jalan Tanah Merah, dekat Pendang pada Rabu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintenden Mohd Rosli Yusof berkata, mangsa, Muhammad Hafiz Mahyar, 37, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan kedua-dua kaki.

Iklan
Iklan

"Kemalangan berlaku kira-kira jam 11.10 pagi ketika wanita berusia 26 tahun yang hamil lapan bulan memandu kereta jenis Perodua Axia dalam perjalanan dari Pendang menghala ke Kubur Panjang. Sebaik tiba di lokasi, kereta itu dipercayai hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan.

"Kereta terbabit telah bertembung dengan motosikal dinaiki tiga beranak itu yang sedang bergerak lurus. Akibat pelanggaran itu, kesemua mangsa telah tercampak ke atas jalan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata, isteri mangsa yang berusia 31 tahun cedera di kepala dan retak tulang pinggul, anak mereka yang berusia satu tahun lapan bulan retak tempurung kepala serta patah paha kanan manakala wanita hamil itu mengalami sakit di bahagian perut.

Mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, di sini untuk bedah siasat manakala kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama

Iklan