Kabinet Sabah lafaz ikrar, perkukuh tadbir urus berintegriti

Iklan
Hajiji menyerahkan dokumen Ikrar Bebas Rasuah (IBR) kepada Mohd Fuad selepas Majlis IBR bagi ahli jemaah menteri di Bilik Mesyuarat Jemaah Menteri, Menara Kinabalu.

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah terus memperkukuh komitmen dalam membanteras rasuah dan memperkasakan tadbir urus berintegriti menerusi pelaksanaan program Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bersama barisan kepimpinan tertinggi negeri.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah berkata, pelaksanaan program IBR bersama Kabinet negeri Sabah itu merupakan satu komitmen amat positif dalam usaha memperkukuh integriti serta tadbir urus yang baik.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, inisiatif berkenaan akan terus diperluaskan ke kementerian dan agensi di bawah kerajaan negeri bagi memastikan usaha pencegahan rasuah dilaksanakan secara menyeluruh.

"Pelaksanaan program ini sekali gus memperlihatkan keberkesanan serta kesungguhan inisiatif yang dirancang supaya amalan rasuah, salah guna kuasa dan ketirisan dapat dicegah secara lebih berkesan," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan lafaz IBR ahli jemaah menteri negeri yang diketuai Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di Menara Kinabalu di sini, pada Rabu.

Mohd Fuad dalam pada itu turut berharap lebih banyak kementerian, jabatan dan agensi kerajaan termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta pihak swasta akan tampil menyertai program IBR.

Iklan

Sebelum itu, Hajiji selepas selesai melafazkan ikrar, beliau bersama ahli jemaah menteri menandatangani dokumen IBR yang disaksikan Mohd Fuad.