Bapa tidak mengaku hempuk anak guna topi keledar

Iklan
Tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret Jasin pada Rabu atas tuduhan memukul anak menggunakan topi keledar.

JASIN - Bapa kepada tujuh anak dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jasin di sini pada Rabu atas pertuduhan memukul anak perempuannya menggunakan topi keledar pada Disember tahun lalu.

Difahamkan, tertuduh bertindak demikian kerana berang apabila anaknya yang berusia 15 tahun tidak menjawab panggilan telefonnya pada malam kejadian.

Iklan
Iklan

Tertuduh, K. Regunathan, 46, mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Mazana Sinin sebaik pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, pemotong sawit itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa berusia 15 tahun menggunakan sebuah topi keledar yang merupakan senjata untuk memukul.

Iklan

Kesalahan itu dilakukan di ruang tamu sebuah rumah beralamat di Taman Ayer Merbau dalam daerah Jasin sekitar jam 2 pagi pada 13 Disember lalu.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A.

Iklan

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Syazwani Mohamad Yusri menawarkan jaminan sebanyak RM11,000 berserta syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu saksi dan mangsa, selain perlu melapor diri di balai polis berhampiran.

Bagaimanapun peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Francis Augustine Soosay memohon jaminan lebih rendah kerana tertuduh hanya bekerja sebagai pemotong sawit dengan gaji harian RM40 serta mempunyai tanggungan keluarga ramai.

Menurutnya, tertuduh perlu menyara tiga orang anak yang masih bersekolah, isteri sakit serta tiga cucu yang masih kecil.

Selain itu, beliau memaklumkan kepada mahkamah bahawa tertuduh sendiri mengalami retak tulang punggung akibat kemalangan.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM4,000 berserta syarat tambahan dan menetapkan 4 Februari depan sebagai tarikh sebutan kes.