Pas ajak Presiden UMNO lawan hujah, idea di pentas demokrasi

Iklan
Idris (kiri) mengajak Ahmad Zahid berlawan hujah, idea dan akhlak sebagai ahli politik di atas satu pentas demokrasi untuk dinilai rakyat.

SHAH ALAM - Pas mengajak Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berlawan hujah, idea dan akhlak sebagai ahli politik di atas satu pentas demokrasi untuk dinilai rakyat.

Ia sebagai respons kepada kenyataan Ahmad Zahid yang mengatakan Pas seharusnya terbubar sendiri kerana UMNO lebih awal meletakkan Islam di hadapan menerusi pindaan perlembagaan parti pada 2019.

Iklan
Iklan

Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad menegaskan, tiada keperluan untuk kedua-dua parti itu dibubarkan demi agenda di luar kerangka demokrasi.

"Wahai sahabatku Datuk Seri Ahmad Zahid, negara kita ini negara demokrasi. Pas dan UMNO tidak perlu dibubar.

Iklan

"Mari kita berlawan di pentas demokrasi. Bukan berlawan bertumbuk atau baling kerusi, itu budaya lain.

"Kita berlawan hujah, idea dan akhlak sebagai ahli politik. Biar rakyat yang menghakimi siapa yang layak mereka pilih," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Iklan

Ahmad Zahid ketika merasmikan Majlis Penutup Multaqa Ilmuwan Islam Malaysia sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Selasa turut mendakwa bekas Mursyidul Am Pas, Almarhum Tok Guru Nik Aziz atau Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah berkata bahawa Pas akan dibubarkan jika UMNO meletakkan Islam dalam perlembagaan parti.

Mengimbas kembali PAU pada 2019, parti itu meluluskan usul pindaan perlembagaan yang antara lain meletakkan agama di hadapan, disusuli bangsa dan negara.

Mengulas lanjut, Idris yang juga Pesuruhjaya Pas Perak turut membandingkan pencapaian kedua-dua parti sambil mengatakan Pas semakin diterima ramai.

Tambah beliau, Pas yang dahulunya sering digambarkan berada dalam ruang lingkup golongan 'mengaji pondok' dan 'orang kampung', kini merentasi sempadan pengaruh itu dengan peningkatan sokongan anak muda serta kumpulan intelektual.

"Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan Pas memenangi 43 kerusi Parlimen, jumlah terbesar dalam Dewan Rakyat. Dahulu Pas dilabel sebagai 'dagang', hari ini Pas menjadi pejuang dan harapan ummah.

"Untuk rekod, pencapaian kerusi Parlimen UMNO sahaja dalam beberapa siri pilihan raya umum (PRU), 2004 (109 kerusi); 2008 (79 kerusi); 2013 (88 kerusi); 2018 (54 kerusi) dan 2022 (26 kerusi).

"Trendnya jelas, UMNO berada di puncak pada PRU 2004, kemudian menurun secara berperingkat sehingga hanya 26 kerusi pada PRU15," ujarnya.

Dalam masa sama, Idris menegaskan bahawa beliau tidak berniat mahu bersikap kasar terhadap UMNO memandangkan masih ramai akar umbi yang ikhlas dan berminat untuk bersama Pas dalam konteks perjuangan perpaduan ummah.

Bagaimanapun, pihaknya hairan apabila Ahmad Zahid mengatakan UMNO bersedia mengundang Pas untuk bergabung dalam satu organisasi yang memfokuskan agenda Islam di luar politik, malah cadangan tersebut diluluskan Kabinet.

"Aik, biar betul? Sejak bila agenda politik kepartian perlu mendapat kelulusan Kabinet? Lebih menarik, UMNO yang mempunyai kekuatan keahlian sekitar 3.5 juta orang, kenapa agenda politiknya sebagai 'abang long' perlu meminta izin Kabinet?

"Tambahan pula, Kabinet tersebut dianggotai menteri-menteri DAP. Ahli UMNO sendiri tentu faham bagaimana pandangan DAP terhadap UMNO dan agenda Islam.

"Pas pula kekal dengan prinsipnya iaitu berjuang di pentas demokrasi, bercakap soal Islam tanpa perlu kelulusan sesiapa dan menyerahkan penilaian akhir kepada rakyat," kata Idris lagi.