Lelaki berpakaian wanita didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu

Iklan
Tertuduh (kiri) ketika dihadapkan di Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu di Kuala Terengganu pada Rabu atas dakwaan berpakaian dan berlagak seperti wanita di sebuah pusat beli-belah pada Mei tahun lalu.

KUALA TERENGGANU – [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu di sini pada Rabu atas pertuduhan berpakaian dan berlagak seperti wanita di sebuah pusat beli-belah di sini pada Mei tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Lukman Mohamad Aluddin, 33, yang juga dikenali sebagai 'Miera Martoza' membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Syarie, Hamidi Shafie.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan berulang dengan memakai pakaian wanita dan berlagak seperti wanita di Tingkat 3, KTCC Mall, Jalan Sultan Zainal Abidin, di sini, kira-kira jam 4 petang pada 12 Mei 2025.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 33 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 dan boleh dihukum dibawah Seksyen yang sama.

Iklan

Jika sabit kesalahan tertuduh berdepan hukuman sebatan tidak melebihi enam sebatan atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya serta boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dan menetapkan 10 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Iklan

Pendakwaan kes itu dikendalikan Ketua Pendakwa Syarie, manakala tertuduh diwakili firma guaman Muhammad Syarafi & Partners menerusi peguam, Siti Nur Adibah Pakurazzi.