MENYEDARI potensi besar fesyen Islamik di peringkat global, USANITA Sdn Bhd (USANITA) tampil proaktif meneroka peluang mempromosi fesyen sopan halal di negara-negara Islam yang mempunyai hampir 2 bilion penduduk.
Ketua Pegawai Eksekutif USANITA, Datuk Adzliana Hasan berkata, di Istanbul misalnya, fesyen sopan halal mempunyai potensi besar kerana umat Islam kini bukan sahaja memilih pakaian menutup aurat tetapi turut mementingkan ketelusan rantaian bekalan merangkumi bahan mentah yang halal serta amalan kerja beretika dan patuh syariah.
“Melalui kajian dan maklum balas yang kami terima, umat Islam di banyak negara kini mahu mendapatkan maklumat sama ada pakaian mereka diperbuat daripada bahan yang halal dan tidak melibatkan perkara-perkara yang ditegah Islam termasuk penindasan serta eksploitasi pekerja,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menariknya, inisiatif yang juga dikenali sebagai halal modest fashion (HMF) itu turut dilaksanakan bagi memanfaatkan momentum hubungan Malaysia–Türkiye yang diperkukuh melalui lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Türkiye minggu lalu.
Terdahulu, beliau dan rombongan mengadakan kunjungan hormat ke atas Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul Ahmad Amiri Abu Bakar.
Turut serta Pesuruhjaya Perdagangan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di Istanbul Sadat Foster Maad.
Ujar Adzliana, unjuran industri menunjukkan perbelanjaan pengguna Muslim bagi kategori pakaian dan kasut sahaja bernilai AS$327 bilion pada tahun 2023 dan dijangka meningkat kepada AS$433 bilion menjelang 2028.
Sementara itu, Ahmad Amiri berkata, usahawan Malaysia harus merebut peluang untuk meneroka peluang perniagaan di Istanbul terutamanya berkaitan fesyen, penginapan dan penyediaan makanan Malaysia.
“Kita menyambut baik inisiatif yang diambil USANITA untuk meneroka peluang perniagaan di Istanbul dan yakin ia boleh dilaksanakan kerana hubungan baik antara pemimpin kedua-dua negara serta tanggapan positif rakyat Turkiye terhadap Malaysia,” katanya.
Pada 2024, Turkiye adalah rakan dagang ketiga terbesar Malaysia di Asia Barat dengan jumlah perdagangan bernilai RM24.15 bilion (AS$5.28 bilion).
Turkiye juga merupakan destinasi eksport terbesar dan sumber import keempat terbesar dalam kalangan negara-negara di Asia Barat.
Tambah Ahmad Amiri, Turkiye mempunyai potensi besar untuk usahawan Malaysia apabila Perdana Menteri melahirkan keyakinan bahawa sasaran baharu perdagangan dua hala Malaysia-Turkiye sebanyak AS$10 bilion boleh dicapai dalam beberapa tahun akan datang.
Beliau turut berkata, Malaysia dan Turkiye telah menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang memudahkan proses untuk usahawan Malaysia meneroka pasaran dan melabur di Turkiye.
Dalam pada itu, mengenai strategi pemasaran HMF, Adzliana berkata, jenama fesyen di bawah USANITA iaitu Amber akan bekerjasama dengan rakan strategik di pelbagai negara Islam seperti Indonesia dan Turkiye untuk menjayakan inisiatif HMF di bawah program Bridge to Brilliance (BtB) yang diperkenalkan USANITA.
Menurut Adzliana, platform BtB amat sesuai digunakan untuk mempromosi konsep HMF kerana jaringan strategik yang telah dibina di Malaysia (BtB 1.0), Indonesia (BtB 2.0), United Kingdom (BtB 3.0), New Zealand/Australasia (BtB 4.0) dan Turkiye (BtB 5.0).
“Kita juga akan membantu rakan-rakan niaga di Malaysia dan negara-negara yang terbabit dengan inisiatif BtB untuk meneroka kerjasama dalam industri makanan dan produk halal seiring dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab halal utama global,” katanya.
USANITA turut menggunakan platform BtB 5.0 untuk membantu mempromosi Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY 2026) melalui pelbagai aktiviti penggambaran dan fesyen yang kini sedang dijalankan melibatkan lebih 40 artis dan pasukan sokongan dari Malaysia yang dibawa ke Istanbul oleh USANITA.
“Program BtB 5.0 bukan sekadar lawatan perniagaan ke Turkiye, tetapi merupakan inisiatif strategik yang menggabungkan diplomasi ekonomi, penjenamaan negara dan industri kreatif yang mampu mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab halal dan pusat pembangunan jenama Islamik global,” kata Adzliana.