LANGKAWI – Malaysia terus memperkukuh sistem kehakiman dalam menangani pertikaian harta intelek menerusi kerjasama antarabangsa dengan Pertubuhan Harta Intelek Sedunia (WIPO).
Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dalam satu kenyataan memaklumkan, usaha itu direalisasikan menerusi penganjuran Workshop on Intellectual Property Adjudication for the Judiciary of Malaysia dengan kerjasama WIPO di sini pada 12 hingga 13 November lalu.
Menurut MyIPO, program berkenaan menjadi platform pertukaran pandangan, pengalaman dan kepakaran antara Badan Kehakiman Malaysia dengan rakan kehakiman antarabangsa dalam menangani cabaran perundangan harta intelek yang semakin kompleks susulan perkembangan teknologi dan perundangan semasa.
Program yang menghimpunkan kira-kira 20 hakim dan pegawai kehakiman itu dirasmikan Ketua Hakim Negara, Tun Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Antara perkara yang dibincangkan termasuk kerangka perundangan harta intelek membabitkan paten, hak cipta dan cap dagangan, selain pendekatan penghakiman serta remedi berkaitan.
Perbincangan turut memberi tumpuan kepada isu semasa seperti pelanggaran hak harta intelek dalam talian, penggunaan kecerdasan buatan (AI), pengendalian keterangan dalam kes harta intelek serta pertikaian rentas sempadan.
Program itu turut menampilkan perkongsian pengalaman daripada beberapa tokoh kehakiman antarabangsa, termasuk Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia, Datuk Wong Kian Kheong.
Turut terlibat ialah Hakim Mahkamah Persekutuan Australia, Justice Cameron Moore; Hakim Mahkamah Tinggi Singapura, Justice Dedar Singh Gill serta Pengarah Institut Kehakiman WIPO, Eun-Joo Min.
Kepelbagaian perspektif daripada pelbagai bidang kuasa itu membolehkan peserta meneliti pendekatan dan amalan terbaik dalam mengendalikan pertikaian harta intelek, khususnya berdepan cabaran baharu dalam persekitaran digital.