SHAH ALAM – Sebanyak 21,000 liter diesel bernilai lebih RM60,000 dirampas selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor membongkar kegiatan penyelewengan menggunakan lori kontena yang diubah suai menjadi tangki simpanan dalam serbuan di Subang Bestari pada Selasa.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDN Selangor, Mohd Hanizam Kechek berkata, serbuan Ops Tiris itu dijalankan kira-kira jam 8.30 pagi hasil risikan selama hampir sebulan.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati lori kontena berkenaan telah diubah suai dengan pemasangan sebuah tangki besi berbentuk segi empat berkapasiti kira-kira 18,000 liter lengkap dengan sistem pam untuk menyedut dan memindahkan diesel.
“Diesel ini dipercayai diperoleh melalui pembelian berulang kali di beberapa stesen minyak sekitar Shah Alam sebelum dikumpulkan di premis ini bagi tujuan pengedaran,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di lokasi serbuan.
Mohd Hanizam berkata, operasi tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor melibatkan kekuatan seramai 20 anggota penguat kuasa.
Katanya, serbuan turut menemukan peralatan pemindahan diesel serta beberapa resit pembelian bahan api daripada stesen minyak yang dipercayai terlibat yang akan dijadikan bahan siasatan lanjut.
“Siasatan awal mendapati premis ini dipercayai memperoleh diesel daripada syarikat atau individu yang tidak mempunyai lesen atau kebenaran sah untuk menjalankan urus niaga barang kawalan,” katanya.
Dalam operasi itu, lima lelaki tempatan berusia antara 40 hingga 50 tahun yang dipercayai berperanan sebagai pemandu lori, kelindan dan penjaga premis ditahan bagi membantu siasatan.
Menurut Mohd Hanizam, nilai diesel yang dirampas dianggarkan antara RM60,000 hingga RM61,000, manakala nilai keseluruhan sitaan termasuk lori kontena dan peralatan lain dianggarkan melebihi RM300,000.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, termasuk kesalahan memiliki dan menjalankan urus niaga diesel tanpa kebenaran sah.
Beliau berkata, siasatan akan memberi tumpuan kepada mengenalpasti individu, syarikat serta rantaian pengedaran diesel termasuk sumber bekalan dan destinasi akhir bahan api tersebut.
Menurutnya, kes ini merupakan kes pertama dikesan tahun ini yang melibatkan penggunaan lori kontena sebagai medium penyelewengan diesel dalam skala besar.
“Kebiasaannya kes melibatkan lori tangki yang diubah suai, namun penggunaan lori kontena ini menunjukkan modus operandi yang lebih tersusun dan terancang,” katanya.
Beliau menegaskan KPDN tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan dan tindakan tegas akan diambil terhadap semua pihak yang terlibat.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan diesel atau barang kawalan lain diminta menyalurkan aduan kepada KPDN Selangor melalui WhatsApp 019-848 8000 atau saluran rasmi yang disediakan.